"Sesungguhnya di dalam hati itu ada 1 kekosongan yang tidak akan terhapus melainkan kekosongan itu diisi dengan ALLAH. Dan di dalamnya ada 1 kesedihan yang tidak dapat dihapuskan melainkan dengan kegembiraan mengenali ALLAH dan taat kepadaNya" - Ibnu Qayyim Al-Jauziyah.
Showing posts with label Baitul Muslim. Show all posts
Showing posts with label Baitul Muslim. Show all posts

Thursday, December 8, 2011

Ini mujahadahku dan mujahadah buat dirimu…

Kita,

Menghampiri dunia yang semakin sukar difahami lagi,

Gejala, masalah, kepincangan semakin hampir dengan diri,

Ya, semakin hampir dengan diri-diri kita.


Dengarkanlah wahai sahabat,

Tika kesepian menerjah

Tika hati merasai kekosongan

Jiwa kian pasrah

Air mata terasa benar cairnya.


Aduh,

Aku ini bagai tiada siapa menyedari

Bagai tiada siapa memahami

Bagai tiada seorang sudi menemani

Pintaku bukan pada indahnya mimpi

Tetapi kasih sejati penuh redha Ilahi.


Duhai sahabat,

Andai engkau begitu,

Bukan dikau seorang seperti itu

Mengalami peritnya menunggu pendamping diri.


Duhai sahabat,

Ingin aku khabarkan waktu ini

Sesungguhnya engkau tidak sendiri

DIA sentiasa mengetahui, Maha Mengetahui.


Dia sedari setiap rintihanmu,

Dia memandang duka tangismu

Dia memahami situasimu.


Namun mari kita singkap jendela dunia,

Akan kau dapati

Ramainya insan sepertimu

Mendamba kekasih hati

Malangnya segala diberi

Hingga benih terlarang tumbuh membumi

Kerana keimanan yang goyah pada diri

Kerana kesabaran tidak dipelihara teguh dalam diri.


Damaikanlah dirimu sang pencari,

Setiap penantianmu pahala menanti

Setiap kesabaranmu dikira Ilahi

Jangan mudah mendengar kata hati

Sehingga lupa firman Rabbi

‘La Takrobuzzina’

Janganlah kamu menghampiri zina

Ini adalah mujahadahku,

Mujahadah buat dirimu teman

Kerana penantianmu itu ujian keimananmu

Moga nanti sang mujahid dihadapanmu ;)


Khair Hibballillah. 7 Dis 2011. 0000 am.

Wednesday, December 7, 2011

Ada Satu Kisah. Kisah Realiti Cinta.

Kisah ini kisah benar yang mungkin boleh diambil iktibar.

Ada seorang lelaki yang peribadinya baik dan soleh sedang mencari jodoh buat dirinya. Sudah lama dia mencari tetapi dia belum menemuinya. Pada waktu yang sama, dia menyerahkan urusan jodohnya kepada keluarga tercinta. Suatu ketika, ada seorang gadis yang tiba-tiba hadir dalam hidupnya. Baginya, bukanlah mudah untuk dia tertaut pada seseorang. Apatah lagi dia telah meletakkan ciri-ciri seorang wanita yang solehah dan menitikberatkan soal agama sebagai kayu ukur penting dalam pemilihan teman hidupnya.

Sehinggalah tibanya suatu masa,

Seorang gadis hadir dalam hidupnya. Pada perawakan si gadis, ada sesuatu yang menarik hatinya. Dia menyedari perasaan itu. Suatu perasaan kasih telah berputik di dalam dirinya. Dia cuba mengenali si gadis dengan cara terbaik yang dianjurkan Islam. Dia mengenali dan mendekati setiap insan yang rapat dengan gadis tersebut. Mengenali terutamanya keluarga si gadis sehingga akhirnya dia telah membulatkan tekad bahawa si gadis itu adalah pilihan hatinya. Dia menyampaikan hasrat itu kepada kakak si gadis tetapi dia menyatakan bahawa dia masih tidak mampu mengikat apa-apa janji kerana dia perlu terlebih dahulu memohon restu pihak keluarganya.

Perkhabaran tentang hasrat si lelaki itu telah sampai kepada si gadis. Si gadis itu mengakui lelaki tersebut pada pandangannya adalah seorang lelaki yang baik dan soleh malah mempunyai pekerjaan dan hala tuju masa depan yang jelas. Namun tidak pula dia merasai perasaan suka mahupun gembira. Gadis tersebut telah beberapa kali dipertemukan dengan lelaki tersebut dengan kehadiran mahram disisinya. Hatinya bercampur baur. Meskipun pada saat itu keluarga si gadis telah menerima sekiranya benar lelaki itu jodoh buatnya. Namun hatinya masih lagi tidak dapat menerima lelaki itu. Kegusaran hatinya membuatkan si gadis terus menerus berdoa dan istikharoh meminta petunjuk. Baginya, hal tersebut menuntut campur tangan dan ketentuan terbaik dari yang Maha Mengetahui.

Masa terus berlalu dan lelaki itu semakin yakin dengan hasrat hatinya. Dalam prosesnya memohon restu pihak keluarga, pada masa yang sama keluarga si lelaki tersebut telah mengaturkan pilihan jodoh untuk si lelaki tersebut.

Saban hari saban waktu, gadis itu semakin gelisah dengan petunjuk yang tidak jelas. Dia masih samar-samar lagi sama ada untuk memastikan benarkah jodohnya telah sampai. Keadaan yang semakin mendesak menyebabkan si gadis yang seluruh jiwanya tiada pada lelaki tersebut telah membulatkan tawakal kepada Ilahi.

“Ya Allah, petunjuk yang aku pohon dariMu membawa aku ke daerah yang penuh kesamaran dan hati yang tidak cenderung pada urusanku ini maka jika benar ini petunjuk bahawa dia bukan untukku, aku bermohon Kau jauhkanlah dia dariku agar terlerai ikatan permasalahan ini. Moga dengan itu terjauhlah aku daripada fitnah yang datang.”

Si gadis terus menerus dengan permohonannya itu.

Selang tidak beberapa lama maka ditakdirkan lelaki itu telah ditukarkan kerja ke tempat yang jauh dan pada waktu yang sama keluarganya serius mengaturkan perkahwinan lelaki itu dengan seorang gadis dari kampungnya. Lelaki itu berat hati untuk mengecewakan permintaan ibubapanya dan dia telah mengutamakan permintaan ibubapanya daripada permintaan hatinya terhadap si gadis tersebut.

Legalah si gadis dan terungkailah jawapan seperti yang dia kehendaki Allah putuskan buatnya.

Andai anda di tempat lelaki itu, apakah yang akan anda lakukan?

Andai anda menjadi gadis tersebut, bagaimana anda menerimanya?

Sesungguhnya soal jodoh ini adalah rahsia yang besar yang menuntut penelitian sebaiknya. Kisah kita, masih dalam pengetahuan Allah Ta’ala. Sedarkah kita, andai betapa jauh kita mengenali dan mencintai seseorang tetapi jika tidak kita segera jalan menuju titik penyatuan kasih yang benar maka kita sebenarnya melalui jalan yang tidak pasti.

Pada anggapan kita, mungkin si dia itu jodoh kita tetapi kita sendiri tidak bersungguh untuk mengikat kisah cinta kita itu mengikut syari’at Islam. Andai belum pasti, jangan menabur janji wahai lelaki.

Wahai gadis, usah bersedih dengan ketentuan yang belum pasti. Andai telah kita berusaha menemukan jodoh tetapi masih tidak menjadi, Allah hanyalah mahu melihat sejauh mana tahap kesabaran dan ketabahan kita.

Pandanglah sekeliling. Sesungguhnya andai kita rasa nasib kitalah paling malang sekali….perhatikanlah bahawa ada insan yang lebih berat ujianNya tetapi masih tetap tenang dan tabah melaluinya. Teruskan kehidupanmu, lalui setiap detik dengan penuh syukur, perbanyakkan meringankan beban orang lain. InsyaAllah semoga Allah juga akan meringankan setiap urusan kita.

Friday, October 29, 2010

10 Soalan Sebelum Meminang

Membuat keputusan untuk berkahwin bukanlah suatu perkara yang mudah. Perkahwinan bererti memasuki suatu alam yang berlainan sama sekali dengan alam yang pernah dilalui sebelumnya, bak kata Tan Sri S M Salim dalam salah satu lagunya, ‘dulu lain sekarang lain, dulu bujang sekarang dah kahwin’.

Setiap pasangan yang berkahwin pastinya mengharapkan perkahwinan itu kekal bahagia buat selama-lamanya. Ramai yang berjaya. Namun tidak kurang pula yang kecewa.

Al-Ustaz Jasim Muhammad al-Mutawwa’, bekas kadi ahwal syakhsiyyah di Kuwait yang kini aktif mengadakan program-program berbentuk bimbingan kekeluargaan, berdasarkan pengalaman dan pengamatannya ketika mengendalikan kes-kes berkaitan dengan masalah rumahtangga menyimpulkan antara sebab berlakunya keretakan dan kegagalan dalam perkahwinan adalah kurang taaruf atau tidak mengenali antara satu sama lain dengan mendalam sebelum berkahwin.

Taaruf yang mendalam atau mengenali bakal teman hidup sebelum melangsungkan perkahwinan sangat penting demi menjamin kesejahteraan dan keseimbangan dalam menjalani kehidupan berumahtangga. Ini tidak bermakna pasangan mesti melalui alam percintaan sebelum berkahwin, kerap bertemu dan berhubung melalui panggilan telefon, sms, chating dan sebagainya.

Percintaan sebelum berkahwin seperti yang dilakukan oleh segolongan masyarakat dan ditonjolkan dalam segala macam media sebagai suatu kemestian, suatu dunia yang penuh dengan keindahan dan keseronokan adalah sebenarnya penipuan belaka. Alam percintaan tidak mendedahkan hakikat diri yang sebenarnya. Masing-masing berusaha menunjukkan yang terbaik sahaja di hadapan pasangannya. Setelah berkahwin barulah terbongkar segala rahsia, segala perangai dan sikap buruk yang selama ini disembunyikan.

Untuk mengenali calon pasangan hidup anda dengan mendalam, al-Ustaz Jasim Muhammad al-Mutawwa’ mencadangkan agar anda mengajukan 10 soalan. Soalan-soalan ini boleh diajukan secara langsung semasa sesi taaruf, atau melalui orang tengah. Jika calon memilih untuk bertemu, melihat dan berkenalan pastikan pertemuan itu tidak dilakukan secara berdua-duaan di tempat suci dan terpencil. Jangan cemari niat yang suci dengan melanggari perintah Allah dan Rasul. Jangan relakan syaitan menjadi orang ketiga di antara anda dengan si dia.

10 soalan itu adalah:

1. Apakah wawasan hidupnya?
Setiap orang mempunyai wawasan dan cita-cita yang ingin dicapai dalam hidupnya. Inilah yang perlu anda ketahui mengenai bakal pasangan hidup anda. Sekiranya anda dan dia mempunyai wawasan dan matlamat hidup yang sama maka perselisihan dalam rumahtangga akan berkurangan.

2. Bagaimanakah kefahamannya mengenai konsep perkahwinan?
Kefahaman serta tasawur yang jelas mengenai perkahwinan amat penting. Sekiranya kedua-dua pihak mempunyai kefahaman yang berbeza, umpamanya satu pihak menganggap perkahwinan hanya sekadar memenuhi tuntutan nafsu semata-mata, sedang satu pihak lagi memandang sebagai satu ibadah, sudah semestinya rumahtangga yang bakal dibina tidak akan aman daripada perselisihan dan pergaduhan.

3. Apakah sifat-sifat yang digemari dan tidak digemarinya?
Adalah penting bagi setiap pasangan mengetahui kegemaran pasangannya, apa yang disukai dan tidak disukainya kerana kadang-kadang perselisihan berlaku disebabkan kelainan kegemaran dan citarasa. Sekiranya kegemaran setiap pihak diketahui terlebih awal mungkin perselisihan dapat dielakkan.

4. Apakah pandangannya mengenai anak pada tahun pertama perkahwinan?
Setiap orang mempunyai pandangan yang berbeza mengenai masa yang sesuai untuk menimang cahaya mata. Sekiranya satu pihak belum bersedia sedang pihak yang satu lagi sudah tidak sabar untuk bergelar ibu atau ayah, pastilah kedua-dua pihak akan berasa tertekan dan perhubungan akan jadi tegang.

5. Adakah dia mempunyai masalah kesihatan atau kecacatan?
Masalah kesihatan yang kronik atau kecacatan semula jadi pada anggota badan tidak wajar disembunyikan. Mengetahui adanya penyakit atau kecacatan tertentu akan mempengaruhi keputusan yang bakal diambil. Menyembunyikan penyakit yang kronik atau kecacatan yang mengaibkan boleh dianggap sebagai satu penipuan.

6. Adakah dia seorang yang suka bergaul?
Sesetengah orang suka bergaul dengan pelbagai lapisan masyarakat, mempunyai kawan dan kenalan di merata-rata tempat. Sesetengah yang lain pula suka menyendiri, tidak pandai berkawan dan sukar didampingi. Orang macam mana yang anda cari?

7. Bagaimana hubungannya dengan ahli keluarganya?
Perkahwian bukan sekadar aqad yang mempertemukan antara dua jiwa. Sebaliknya perkahwinan merupakan hubungan kemasyarakatan yang mencantumkan antara dua keluarga atau lebih. Oleh itu bakal tunangan harus tahu status keluarga serta hubungan mereka antara satu sama lain. Hubungan kekeluargaan juga sedikit sebanyak menggambarkan keperibadian seseorang.

8. Apakah kegemarannya dan bagaimana dia mengisi waktu lapangnya?
Kegemaran serta cara seseorang memenuhi masa lapangnya juga memberi gambaran tentang wawasan serta cita-citanya dalam hidup ini.

9. Adakah dia aktif dalam mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau pertubuhan kebajikan?
Keaktifan dalam persatuan kebajikan atau pertubuhan sukarela menggambarkan dia bukan seorang yang sombong dan mementingkan diri. Orang yang hidupnya sekadar untuk memenuhi cita-cita dan wawasan peribadi semata-mata sebenarnya hidup dalam dunia yang sempit dan mati sebagai insan yang kerdil. Tetapi orang yang hidup dalam perjuangan akan hidup sebagai insan yang hebat dan apabila dia mati namanya akan dikenang zaman-berzaman.

10. Apakah pandangannya sekiranya ibu bapa masuk campur dalam urusan peribadi atau urusan rumahtangga mereka?
Setengah orang menganggap rumahtangga adalah masalah peribadi yang terlalu khusus. Tiada seorang pun yang boleh masuk campur walaupun ibu bapa sendiri. Hal ini sangat penting diketahui oleh setiap orang yang akan memasuki gerbang perkahwinan. Apakah pandangan bakal pasangan hidupnya. Adakah dia termasuk dalam golongan di atas atau sebaliknya seorang yang terlalu bergantung kepada kedua-dua ibu bapanya walaupun telah berkeluarga?

Apabila anda telah mendapat jawapan yang bersesuaian dengan apa yang dicari, maka teruskanlah hasrat anda untuk melamarnya. Begitu juga halnya dengan pihak yang dilamar. Pastikan anda mengenali jejaka yang melamar itu dengan mengajukannya 10 soalan di atas.

Ustazah Maznah Daud
Ketua Wanita
Pertubuhan IKRAM Malaysia

"Ukhuwah Teras Kegemilangan"