Sunday, May 10, 2015
Kembali :)
Sebenarnya setelah sekian lama mahu kembali menghidupkan teratak blog saya yang serba sederhana ini.
Dunia saya kini sudah berbeza berbanding dahulu. Kini sudah berkeluarga dan bergelar suri rumah sepenuh masa.
Hehee..sepatutnya ada banyak masa kan? Tapi benarlah kata emak-emak kita bahawa jadi seorang ibu ini kadang-kala lebih sibuk daripada bekerja.
Banyak yang ingin saya kongsikan. Semoga sedikit sebanyak mampu memberi manfaat untuk semua pembaca.
/(^_^)\
Thursday, December 8, 2011
Ini mujahadahku dan mujahadah buat dirimu…
Kita,
Menghampiri dunia yang semakin sukar difahami lagi,
Gejala, masalah, kepincangan semakin hampir dengan diri,
Ya, semakin hampir dengan diri-diri kita.
Dengarkanlah wahai sahabat,
Tika kesepian menerjah
Tika hati merasai kekosongan
Jiwa kian pasrah
Air mata terasa benar cairnya.
Aduh,
Aku ini bagai tiada siapa menyedari
Bagai tiada siapa memahami
Bagai tiada seorang sudi menemani
Pintaku bukan pada indahnya mimpi
Tetapi kasih sejati penuh redha Ilahi.
Duhai sahabat,
Andai engkau begitu,
Bukan dikau seorang seperti itu
Mengalami peritnya menunggu pendamping diri.
Duhai sahabat,
Ingin aku khabarkan waktu ini
Sesungguhnya engkau tidak sendiri
DIA sentiasa mengetahui, Maha Mengetahui.
Dia sedari setiap rintihanmu,
Dia memandang duka tangismu
Dia memahami situasimu.
Namun mari kita singkap jendela dunia,
Akan kau dapati
Ramainya insan sepertimu
Mendamba kekasih hati
Malangnya segala diberi
Hingga benih terlarang tumbuh membumi
Kerana keimanan yang goyah pada diri
Kerana kesabaran tidak dipelihara teguh dalam diri.
Damaikanlah dirimu sang pencari,
Setiap penantianmu pahala menanti
Setiap kesabaranmu dikira Ilahi
Jangan mudah mendengar kata hati
Sehingga lupa firman Rabbi
‘La Takrobuzzina’
Janganlah kamu menghampiri zina
Ini adalah mujahadahku,
Mujahadah buat dirimu teman
Kerana penantianmu itu ujian keimananmu
Moga nanti sang mujahid dihadapanmu ;)
Khair Hibballillah. 7 Dis 2011. 0000 am.
Friday, May 6, 2011
Hari-hariku
Hari ini...
Esok mahupun masa depan...
Apalah yang ditentukanNya buatku? Buat kita? Seorang hamba dan kuli yang penuh dosa?
Teruskan melangkah untuk hari esok,
Memberi yang terbaik di sepanjang perjalanan hidup sehingga sampai ke perhentian yang pasti.
Thursday, January 13, 2011
Bukan Sepertiku
Pada jalan-jalan yang kau lalui
Pada jalan-jalan yang telah kutempuhi
Pada satu jalan
Kita menapak langkah demi langkah
Sedar atau pun tidak
Kita sebenarnya sedang sama-sama
Menuju ke destinasi yang satu
Pada bicara yang kututur
Pada tindak yang kugagahi
Semuanya terletak pada keterbatasan diri
Andai ada kata pengguris jiwa
Jangan disimpan meniti masa
Andai ada tindak tak menyenangkan
Jangan pada pandangan sahaja
Katakan keranaku bisa menerima
Biar pahit ditelan rasa
Andai ada teguran kutuju
Jangan sangka aku menunjuk pandai
Andai ada cuba kulihat kesilapanmu
Jangan sangka aku suka-suka
Mengintai aib pada diri insan
Sedang aku cuma
Cuma semata mahu kau menyedari
Menjadi lebih baik dan memperbaiki pada dirimu
Bukan sepertiku
Dan jangan sepertiku
Entah-entah
Dalam bicara aku khilaf
Dalam nasihat aku lupa
Lupa pada diri sendiri
Alpa pada ingatan sendiri
Abai pada amal kendiri
Lalu siapalah yang aku harapkan
Melainkan kau
Yang melihat segala kurangku
Kerana kita sama tak bisa sempurna
Sering pula menjadi lupa
Pada tujuan diri sebagai HAMBA
Khair Hibballilah. 13 Jan 2011. 3.30pm
Tuesday, December 7, 2010
Menyorot Diri di Lembaran Baru
Memandang semalam yang ditinggalkan
Menjenguk hari ini yang tiba
Mengungkap esok tanpa jawapan
Termangu, terkaku
Pada hari-hari yang ditinggalkan
Pada episod kelmarin
Yang segar dalam ingatan
Ya, aku terpaku
Pada diri yang kelesuan
Pada perjalanan yang panjang
Pada tahap yang entah di mana
Persoalan pada diri
Di manakah aku kini?
Andai yang telah dilalui
Penuh dosa dan noda
Kealpaan kekhilafan
Apakah untuk hari ini
Bakal kejejak kembali
Tidak puaskah pada semalam
Yang sudah cukup menghantui
Adakah sekadar lembaran
Tanpa memikirkan perhitungan
Tanpa memikirkan tujuan
Tanpa memikirkan perbaikan
Sedih,
Sungguh sedih sekali
Adakah tangisanku didengar
Adakah keampunan telah tertunai
Apakah hati dan jiwa telah dibersihkan
Aku,
Terlalu malu
Apa yang telah kutinggalkan
Masih belum cukup
Untuk persaksian dan persembahan
Perjalananku,
Masih jauh beronak liku
Menyulam sabar dalam payah
Masih tunduk meminta tunjuk
Menyorot diri di lembaran baru
Memautkan keinsafan
Mengundang seribu persoalan pada diri
Pada jawapan yang bakal kuberi
Andai hari ini terhenti
Menuju destinasi abadi
Salam Ma’al Hijrah. Datang tetamu Muharam menjadikan tahun berganti lagi. Merenung masa depan membilang dekatnya hari, bertambahnya usia mengingatkan pada satu titik noktah iaitu kematian yang bakal bertamu.
Tuesday, November 16, 2010
Pagi Ini.
Pagi ini aku disuntik oleh semangat pejuang yang tegar mempertahankan perjuangannya.
Kini,
Apa yang aku gusarkan
Apa yang aku gundahkan
Apa yang aku persoalkan
Apa yang aku minta petunjuk dariNya
Semakin pasti jawapan
Aku semakin pasti di sini
Di saat aku membilang dan menanti
Menjengah imbasan hari esok
Dengan noktah semalam
Harapan hari ini dengan pengertian
Namun esok yang bakal kutempuh
Bukan semudah bicara bibir
Bukan semudah sekilas pandangan
Bukanlah mudah tafsirannya
Bicaranya pada aku yang melaksanakan
Buktinya pada aku yang menyimpulkan
Biarlah kaki ini terus melangkah
Mula tatih yang perlahan
Hingga lari yang kencang
Panjang…
Memang panjang perjalanan
Meski singkat yang dirasa
Namun
Jangan ada yang pergi
Jangan ada yang berlalu
Hanya bayangan tanpa makna
Friday, November 5, 2010
MULA
Mengorak langkah terus mara
Biar aku sedang melangkah
Langkah ini disusun untuk mewarnai
Langkah yang telah kuatur
Tiada ragu tanpa rahsia
Jalan yang diatur
Perlu lurus dan tulus
Sepanjang laluan
Aku bertafakur
Mencari makna mendamba kepastian
Dalam kebenaran
Kulihat kejernihan
Kesucian pada jiwa-jiwa
Zahirkan apa yang kurasa
Berikan apa yang kupunya
Adakah semuanya telah jelas buatku?
Apakah simpang telah berjaya ditempuh
Jalan-jalan ini
Bukan mutlak buatku
Dedikasinya pada seluruh semesta
Titik mula pada sifarnya kita
Kosong tak punya apa
Dan bercambah hasilnya ada
Terbina dikit demi dikit
Membentuk apa yang bakal kupunya nanti
Saturday, October 2, 2010
tak terkata!
Terketar-ketar…
Bagai luluh diri ini…
Khabar itu meninggalkan rasa yang membengkak kesakitan di jiwa.
Wahai anak,
Aku melihat kau generasi muda hari ini terlalu terbawa dengan rasa nafsu..adanya nafsu untuk dikawal bukan dipenuhi segala mintanya.
Aku tak minta kau peduli pada perasaan insan lain jika memang kau bukan berperikemanusiaan.
Wahai kamu yg bergelar anak,
Aku terlalu sakit mendengar khabar yang hanya merundung kecewa dihati ini..
Bukan kerana aku peduli padamu tetapi seguris luka yang tercoret sudah cukup untuk membuat bencana kepada dunia hingga kau akui kemudaratan diakhirnya.
Cukuplah,hentik
Andai keterlanjuran telah berpaut, sedar-sedarlah dunia ini masih berputar!
Buktikan keinsafanmu..selagi nafas masih berhembus, pintu taubat belum tutup, mohonlah dengan sepenuh hati agar taubatmu diterima Ilahi.
Kata-kataku ini bukan aku membencimu sedang aku tak pernah berhenti berharap pintu hatimu akan terbuka & doaku moga kau dilimpahi taufik hidayahNya.
[buat aku,kau dan kita yang bergelar anak]
Rasa ini aku lontarkan saat aku pedih mendengar…mendengar kisah yang terlalu perit untuk diperkatakan. Saat aku tahu, aku merasai bagaimana remuknya hati dia dan dia, ibu yang mengkandungkanmu dan si ayah yang selalu ingin memberi yang terbaik buatmu. Tidak, aku tak bermakna membencimu tetapi air mataku ini tidak dapat dibendung menangisi bahawasanya sekali lagi keturunan iblis telah berjaya menyantuni nafsu keturunan adam.
Buat ingatan untuk aku menjadikan setiap ketentuan itu pedoman, iktibar buat diri yang sering kealpaan bahawa kaki ini perlu semakin pantas berlari, gerak perlu terus diatur rapi..biar sukar ditelan namun menjadi penambah kekuatan untuk aku terus memberi kesedaran, menyebarkan kebenaran..!
***
Menangislah di Bahuku
Munsyid : Firdaus
http://liriknasyid.com
ku sambut bahagia dengan tangan terbuka
kau balas dengan senyuman seadanya
ku tahu ada sesuatu yang berbeza
kau hanya diam seribu bahasa
hanya di matamu yang cuba berbicara
bahwa saat ini hatimu terluka
kau tahu ku ada di sini untukmu
mencuba tak berkedip
menahan tegar di hujung mata
hingga kau pun tak kuasa
berderailah airmata
dalam pelukku kau curahkan semua
menangislah...
kadang manusia terlalu sombong tuk menangis
lalu untuk apa airmata telah dicipta
bukan hanya bahagia yang ada di dunia
menangislah...
di bahuku kau berikanku kepercayaan
bahwa laramu adalah haru biruku
kerna ku adalah sahabatmu
menangislah...(dibahuku ku disini untukmu)
menangislah...(dibahuku kerna ku sahabatmu)
Tuesday, September 28, 2010
Sahabat: Ujian itu Sulaman Kehidupan
Duhai sahabatku
Telah kudengar rintihanmu
Luahan rasa yang ingin kau sampaikan
Bahawa kini kau menempuhi saat-saat getir
Semangat yang bagaikan mahu padam
Kekuatan yang sepertinya mahu hilang
Hingga kau tertanya pada diri
Kemana lagi mahu dibawa resah sang hati
Menelan pahitnya ujian
Membajai redha sepenuh pengertian
Duhai sahabatku
Ingatkah pada kalam bicara
Kita ingin terus memberi
Menabur benih-benih hidup
Yang dicampak ke laut menjadi pulau
Kita ingin menjadi panah terbaik
Yang sentiasa tepat mengena sasarannya
Namun itu semua sahabatku
Bukan semudah yang kita sangkakan
Benih hanya mampu hidup
Setelah sekian susah payahnya
Panah yang ingin dituju
Bukan sekali akan tepat
Inilah rencahnya
Pahit manis menyampaikan seruan
Ingatlah ujian demi ujian itu
Umpama sulaman-sulaman
Yang akan menjadi satu hamparan
Sebenarnya menjadi satu anugerah
Dalam mempersiapkan diri
Menyempurnakan seluruh potensi diri
Sebagai khalifah yang menyampaikan risalah kebenaran
Teruslah memujuk diri
Biar terkorban dalam pengorbanan
Biar terbakar dalam nyala yang marak
Biar ditinggalkan dalam keramaian
Biar itu semua kita yang rasa
Buat penyaksian sang Pencipta
Hentikan persoalan dibenak
Sampai bilapun harus ditelan
Sampai bilapun perlu ditanggung
Nafas yang berhembus akan terus menjunjung
Biar langkah akan terus bertapak tanpa henti
Setulus hati buat Ilahi
“Pada akhir zaman, orang-orang yang memegang tali perjuangan itu bagaikan menggemggam bara api, andai terus digengam hancur luluh jiwanya. Namun andai dilepaskan hancurlah dunia. Jangan takut untuk berjuang kerana orang yang berjuang memang dirintangi ujian. Sesungguhnya Allah sentiasa bersama orang2 yang bersabar. Kita hidup untuk perjuangan dan mati untuk kehidupan..Syurga impian.” [Imam Nawawi]
Wednesday, September 8, 2010
TETAMU Yang Pergi..
Bismillahirrohmanirrohim.
Ya Allah,
Saat aku menitipkan coretan ini
Aku dalam kesedihan
Kerana hari-hari yang indah akan berakhir
Tetamu yang datang bakal pergi
Sedih sekali kerana tetamu itu datang
Dengan penuh barakah disisi
Kemuliaan yang Kau telah kurniakan
Buat hambaMu setahun sekali
Namun adakah kami benar-benar menghargai?
Memberi layanan terbaik sepanjang kehadirannya..
Adakah diisi dengan penuh ketaatan serta ketaqwaan?
Ampunkan atas kealpaan kami, ya Allah
Sikit sekali amal yang kami persembahkan kepadaMu
Cukupkah amalan buat Ilahi?
Bagaimana pula dengan hati-hati kami
Adakah penuh kesedaran @ hanya kegelapan
Adakah hati ini disucikan
Dibersihkan mengikhlaskan segala semata keranaMu ya Allah!
Ampunkanlah kami, ya Rabbana
Kami lemah dalam perhitungan
Kami lelah dalam keasyikan
Kesibukan yang entah untuk apa..
Apabila membilang hari
Rupanya ia sedang berbaki hari
Akan pergi menjauh dari kami
Jangan biarkan kami menjauh
Sebelum tiba waktunya ianya berundur
Izinkanlah kami, ya Rabbul ‘Alamin
Beroleh kerahmatan dan keredhaan
Mengharap jannah menyisih kemurkaanMu
Dan amalan-amalan kami
Terimalah dengan penuh penyaksian
Kabulkan segala permintaan
Hapuskan dosa noda kami
Aturkanlah buat kami
Kehidupan yang baik di dunia dan akhirat.
Allahumma ameen ya Rabbana!