"Sesungguhnya di dalam hati itu ada 1 kekosongan yang tidak akan terhapus melainkan kekosongan itu diisi dengan ALLAH. Dan di dalamnya ada 1 kesedihan yang tidak dapat dihapuskan melainkan dengan kegembiraan mengenali ALLAH dan taat kepadaNya" - Ibnu Qayyim Al-Jauziyah.

Wednesday, July 14, 2010

SYAHADATUL HAQ…hak yang sudah tertunai?

MISI (Mukhayyam Intensif Siswa-siswi Islah) dalam SLOT ‘SYAHADATUL HAQ’ membuatkan diri ini berfikir sendiri, ada amanah yang besar selaku kita individu yang telah mengakui ‘TIADA TUHAN YANG AKU SEMBAH SELAIN ALLAH dan NABI MUHAMMAD SAW ITU PESURUH ALLAH’..dan aku sebagai individu muslim adakah selama aku hidup telah melaksanakan hak-hak tersebut?


Sedarkah wahai diri bahawasanya kamu INDIVIDU MUSLIM sedang menggalas tugas untuk mempraktikkan cara hidup muslim itu 24 jam sehari? Adakah telah kau laksanakan keseluruhannya???


Bertanya aku kepada diri sendiri….


Aku ini INDIVIDU MUSLIM, sedarkah aku bahawa aku ini berkewajipan menyampaikan seruan ISLAM ini kepada hamba-hambaNya yang masih belum menerima seruan itu? Tugas ini sepatutnya tidak disandarkan kepada segelintir pihak sahaja namun setiap dari kita yang beragama Islam sebenarnya perlu memahami hak SYAHADAH itu sendiri.


Muhasabah kembali wahai diri…tuntutan sebagai INDIVIDU MUSLIM sudah terlaksana?


Seruan ini menjadi satu cara hidup, mengaplikasikan dalam tatacara hidup, menyeru, mengajak manusia berbondong-bondong taat dan tunduk patuh kepadaNya. Di manakah kamu wahai diri???

Tuesday, July 13, 2010

Di Persimpangan Ini

Dalam perjalanan ini

akan pasti saatnya menuntut pengorbanan

yang apabila kita berkorban

kita bersedia untuk melepaskan apa yang ada

di sisi kita


Tapi apabila saatnya tiba

kita harus memutuskan sesuatu

pilihan yang perlu dibuat

perit untuk melepaskan apa yang manis

kemanisan yang pernah dirasai suatu detik dahulu


Dan apabila pilihan itu telah di buat

bukan bermakna meninggalkan

kerana pasti aku telah serahkan kepada penentu terbaik

kepada Rabb yang lebih tahu


Aku tidak ingin terputus di jalan ini

bahkan tidak pula aku ingin lari

sedang yang aku pilih

menuntut satu perjuangan

tanggungjawab yan besar menanti


Telah kunilai apa yang terbaik

telah kuserahkan kebuntuan ini

dalam doa dan rayuku pada Ilahi

agar nanti redha mengiringi

Ya Allah telah Kau tetapkan aku di sini

Moga aku tetap di sini

Tulus dalam perjuangan meraih cintaMu yang abadi

Tuesday, June 22, 2010

Kita..Disenangi @ Tidak?

Apabila berteman..

Ada satu peristiwa yang mengingatkan diri ini tentang pertalian, persahabatan dan teman. Apabila terkenang, SATU KENYATAAN YANG TIDAK DAPAT DINAFIKAN DALAM HIDUP KITA ADALAH KITA TIDAK MUNGKIN MENJADI TEMAN YANG SEMPURNA DI MATA SEMUA DAN KEHADIRAN KITA TAK SEMESTINYA DISENANGI SEMUA…ITULAH HAKIKATNYA. Bagaimana kita menerima hakikat ini seadanya dan memahami sebaiknya supaya pergaulan yang sihat dapat dipraktikkan dalam kehidupan.

Islam sendiri telah memperhalusi perkara ini dengan menjadikan junjungan mulia Nabi Muhammad SAW sebagai contohnya. Rasulullah SAW yang mempunyai akhlak yang baik lagi mulia masih ada orang yang memusuhinya. Hal ini menunjukkan manusia ini masih insan yang lemah yang tidak mampu menguasai pemikiran dan akal manusia. Hanya Allah SWT yang mempunyai sifat kesempurnaan ini oleh sebab itu hanya Allah yang berhak memberi petunjuk dan menyesatkan sesiapa yang Dia kehendaki.

Kita sendiri apabila mengetahui bahawa ada orang lain yang tidak sehaluan dengan kita atau tidak suka dengan cara kita, kita akan berasa gelisah. Kalau boleh nak saja kita memberi kepuasan kepada setiap orang tetapi itu adalah sesuatu yang kita tak mampu lakukan dan tak mungkin dapat lakukan. Bagaimana kita menghadapi situasi ini dan adakah kita mampu menghadapi situasi ini? Sebagai insan yang lemah disisiNya, terimalah pandangan positif mahupun negatif daripada orang di sekeliling kita, kalau boleh untuk perbaiki diri lakukan dengan sebaiknya tetapi andai ada kekurangan diri yang perlu diterima seadanya...terimalah dengan hati yang terbuka.

Kadang-kala kita sendiri tidak dapat lari daripada perasaan negatif terhadap orang lain sehinggakan akhirnya kita menyimpan perasaan jelik dan benci apabila melihatnya. Kawallah perasaan, jangan biarkan perasaan menguasai kita...kitalah yang menentukannya. Sesungguhnya perasaan itu di tusuk oleh syaitan durjana. Berbahagialah dengan kehadiran insan-insan yang menyenangi kita mahupun yang tidak menyenangi kita kerana itulah lumrah dalam kehidupan dunia ini. Ada hikmah dalam setiap ketetapan Allah itu dan buatlah yang terbaik kepada semua orang dan berlapang dada kerana kamu pasti akan berasa tenang dan damai selepas itu, insyaAllah biiznillah wallahualam.

Monday, June 21, 2010

Andai Malam Kembali

Aku telah menemui siang yang terbentang untukku namun malam yang kelam menahan agar aku terus di situ..akan kulari kepada siang yang cerah itu kerana malam hanya membawa resah di lubuk hatiku…


Saat siang tersenyum kepadaku

Aku masih dipersimpangan fajar bagai mencari sesuatu

Sedang malam harus ku lepaskan pergi

Kerana malam telah menjadi semalam yang takkan berganti


Namun malam tetap akan kembali

Membawa wajah yang berbeza

Bersama kisah yang baru


Andai malam hadir lagi

Aku berjanji kepada Tuhan

Aku akan tetap di sini

Teguh berdiri

Membawa seribu satu impian

Kerana ku impikan

Malam-malamku ini

Dipenuhi sedar dan pengertian


Agar nanti….

Akan dapat kuserah diri dan jiwa

Pada Rabb yang hakiki

Kerana nafas ini

Kuabadikan semata keranaNya

Dalam langkahku mencari redhaMu ya Ilahi

Ku Damba Hanya PadaMu

Ya Allah,

Sesungguhnya aku bukan takut kesunyian ini

Kerana aku pasti dinding kesunyian itu pasti tembus jua

Pada saat dan masa yang telah Kau tetapkan


Yang aku gentarkanlah adalah

Aku diuji pada cinta yang bukan selayaknya untuk aku

Aku tidak mahu pada fitnah cinta dunia

Tidak pada cinta yang melalaikan

Tidak pada cinta yang tidak halal

Yang hanya mengundang murkaMu


Ku akui wahai pemilik hakiki cintaku

Aku tidak benar-benar menjaga hati ini

Sehingga bisa saja perasaanku diusik

Hanyut dalam buaian nafsu dan syaitan durjana

Ku akui ketidaktulusan itu

Sedang aku amat malu ya Allah

Malu kepadaMu kerana tidak menjaga hati ini


Ya Allah,

Bawalah hatiku ini pergi

Daripada dibuai rasa resah gelisah

Agar aku dapat menikmati cintaMu yang tulus buatku

Tinggikanlah ketaqwaanku kepadaMu

Ku sedar memang payah

Tapi aku mohon kudrat dan kekuatanMu

Untuk terus membimbimgku

Dan hembuskanlah nafas keimanan yang teguh

Merasai kesucian dalam mendamba cinta Ilahi