Friday, May 6, 2011
Hari-hariku
Hari ini...
Esok mahupun masa depan...
Apalah yang ditentukanNya buatku? Buat kita? Seorang hamba dan kuli yang penuh dosa?
Teruskan melangkah untuk hari esok,
Memberi yang terbaik di sepanjang perjalanan hidup sehingga sampai ke perhentian yang pasti.
Thursday, January 13, 2011
Bukan Sepertiku
Pada jalan-jalan yang kau lalui
Pada jalan-jalan yang telah kutempuhi
Pada satu jalan
Kita menapak langkah demi langkah
Sedar atau pun tidak
Kita sebenarnya sedang sama-sama
Menuju ke destinasi yang satu
Pada bicara yang kututur
Pada tindak yang kugagahi
Semuanya terletak pada keterbatasan diri
Andai ada kata pengguris jiwa
Jangan disimpan meniti masa
Andai ada tindak tak menyenangkan
Jangan pada pandangan sahaja
Katakan keranaku bisa menerima
Biar pahit ditelan rasa
Andai ada teguran kutuju
Jangan sangka aku menunjuk pandai
Andai ada cuba kulihat kesilapanmu
Jangan sangka aku suka-suka
Mengintai aib pada diri insan
Sedang aku cuma
Cuma semata mahu kau menyedari
Menjadi lebih baik dan memperbaiki pada dirimu
Bukan sepertiku
Dan jangan sepertiku
Entah-entah
Dalam bicara aku khilaf
Dalam nasihat aku lupa
Lupa pada diri sendiri
Alpa pada ingatan sendiri
Abai pada amal kendiri
Lalu siapalah yang aku harapkan
Melainkan kau
Yang melihat segala kurangku
Kerana kita sama tak bisa sempurna
Sering pula menjadi lupa
Pada tujuan diri sebagai HAMBA
Khair Hibballilah. 13 Jan 2011. 3.30pm
Wednesday, January 12, 2011
Ruhul Jadid
Ruhul Jadid – ruh baru.
Bicara ini tiba-tiba bermain di fikiran. Telah aku temukan di sini?
Shah Alam -> Batu Pahat -> Kulai
Daerah yang telah kulalui dan sedang kutempuhi.
Setiap daerah ini mempunyai kisahnya tersendiri, kisah yang ingin aku khabarkan adalah perjalanan tarbiyahnya ketika berada di daerah-daerah tersebut.
-Shah Alam
Pastinya, ruh yang aku temukan, perjalanan yang masanya singkat tetapi pengalamannya sungguh bernilai buat diri ini adalah ketika di Shah Alam. Rindu pada tarbiyah akan membawakanku kepada Shah Alam. Tarbiyah sewaktu pengajian yang apabila kunilai kini amat bergerak, mantap dan produktif. Jiwa dan semangat muda lah katakan!
Sahabat-sahabat di sana, akhawat sentiasa berlegar di kotak ingatan ini. Tak mungkin dapat dilupakan kerana membangunnya diri ini adalah bermula dengan kalian.
-Batu Pahat
Tanah kelahiran yang jika sebelum ini, pulang pada cuti semester tidak berisi. Tak dimanfaatkan sebaiknya, duduk terperuk di rumah sehingga menghadirkan kebosanan. Namun setelah habis pengajian, aku tak berhenti menghubungi akhawat di BP untuk meneruskan pentarbiyahan. Tarbiyah perlu diakarumbikan dalam diri seseorang muslim itu. Alhamdulillah, dipertemukan dengan ‘geng BP’ iaitu Kak Fifi dan Kak Jannah. Bersama-sama menggapai matlamat menyusun langkah dan berkongsi setiap rasa, suka dan duka ditempuhi bersama. Hala tuju kita satu dan padu.
Kak Fifi: Teringat pada banyaknya impian yang serupa antara kita berdua. Angan-angan…adakah kita sekadar mahu ianya menjadi angan-angan..? Oh tidak, aku harap semoga kita Berjaya menggapainya insyaAllah. Allahuma amen!
Kak Jannah: Kita telah banyak bersama, berkongsi masa dan rasa. Kita telah juga banyak belajar dari kehidupan ini. Dari perkongsianmu, ku beroleh manfaat dan iktibar. Dari perkongsianku, moga ada sesuatu yang boleh dipelajari. Harapnya begitulah kak. Berbakti di tanah kelahiran sendiri membawaku belajar mencintai dan menghargai.
-Kulai
Kini. Waktu ini dengan kudrat keizinannya aku berbakti di bumi Kulai ini. Sesungguhnya, daerah ini jauh sekali dalam perancangan masa depanku melainkan aku hanya ingin terus berada di Shah Alam. Sepertimana aku dan Kak Jannah, kami kembali ke pangkuan keluarga setelah selesai pengajian. Itu bukanlah sebab untuk kami berhenti dan berlalu. Kak jannah masih di BP namun sedang meniti hari-hari untuk kembali menyambung pengajian Ijazah Sarjana. Alhamdulillah, rezekinya di situ.
Perjalanan tarbiyah setelah bekerja dan sewaktu belajar amat-amatlah berbeza. Bolehkah untuk aku katakan bahawa aku juga dalam proses menyesuaikan diri’ dalam situasi tarbiyah yang berbeza ini. Suasananya berbeza dan menuntut aku untuk benar-benar faham suasana tarbiyahnya. Kulai masih banyak memerlukan ‘Ruhul Jadid’ dan aku sendiri juga perlu mendatangkan ruh dalam membina semangat dan kekuatan untuk bergerak di wilayah baru ini.
Setiap daerah yang ditapaki menambah pengalaman buat diri. Kita sebenarnya sedang belajar dan mendalami…dan semoga itulah jua yang diperolehi oleh diri ini.
Bawalah ruh-ruh baru ke daerah-daerah baru yang perlu dijejaki.
Menghidupkan tarbiyah dengan ‘Ruhul Jadid’…
Tuesday, January 4, 2011
Tetamu Allah
Menjadi tetamu Allah…menjejak tanah Haramain…impian yang semoga diperkenankan Allah pada masa dan waktu yang terbaik nanti.
Tiba-tiba kerinduan diri semakin memuncak kepada tanah Haramain selepas pertemuan dengan sahabat satu kuliah di universiti. Walau hanya kami bertiga. Kami memang merancang pertemuan tambahan pula salah seorang sahabatku ini baru sahaja pulang dari menunaikan Haji.
Tumpang gembira buatnya yang telah dijemput terlebih dahulu untuk menjadi tetamu Allah. Sungguh istimewa…cemburu sungguh!
Makkah dan Madinah.
Destinasi yang sentiasa diimpi untuk dijejaki. Tanah yang diberkahi dan penuh rahmah.
Bertemu sahabatku, Mun (nama panggilan) memang penuh cerita. Ceritanya membuat diri semakin rindu untuk bertandang ke sana.
Menjadi tetamu Allah bukan sebarang. Diri kita dari hujung rambut ke hujung kaki perlu disucikan lebih-lebih lagi sang hati. Pada waktu ini, keimanan kita diuji. Keyakinan tak berbagi pada janji Ilah itulah yang utama.
Sahabatku, semoga segala amalmu diterima Allah dan diganjarkan sebaiknya. Semoga Haji yang dilalui membawa hijrah fil khair yang lebih besar selepas ini. Allahumma amen ya Rabbal ‘Alamin.
Ayuh Bersama!
Apabila sejenak meluangkan masa dengan seorang adik yang mahu perhatian…cuba menyelami hatinya dan memahami perasaannya. Melihat pada redup wajahnya bagaikan aku mendengar lontaran,
“Saya Mahu Berubah!”
“Saya Nak Menjadi Baik!”
“Saya mahu dan mahu! Tapi saya tidak mampu!”
Seketika bersamanya, mendengar luahan yang terbuku di lubuk hati. Perkongsian yang mengharapkan pengertian, baginya sekadar cukup punya seorang insan di sisi untuk mendengar dan memberi mutiara kata yang dapat menyegarkan jasadnya yang kelayuan.
Kami masih berhubung setelah dia mengikuti program yang dianjurkan dan aku menjadi salah seorang fasilitator pada masa itu.
Aku mendengar khabar bahawa dia dirundung penyesalan, memohon keampunan atas segala yang pernah dilalui dahulu dan setulusnya dia memang mahu menjana perubahan yang besar dalam diri.
***
Sekadar berkongsi cerita yang sedikit ini, sebenarnya dunia ini penuh dengan insan-insan yan seperti itu. Ingin menganjak jalan yang lurus meninggalkan kebengkokan jalan yang pernah dilalui dahulu.
Mereka sebenarnya mencari sang insan yang sudi menyambut huluran tangan, mampu dipimpin bersama, mahu seiringan dalam gerak langkah.
Tapi siapakah yang sudi melakukan itu semua?
Sedang kita semua (masing-masing) sibuk tentang perihal diri sendiri?
Menyingkap dunia luar yang mempunyai 1001 cerita, yang kisahnya pelbagai seharusnya mendatangkan rasa syukur buat diri bahawa Allah telah menyediakan lapangan yang baik buat diri kita.
Keluarga yang bahagia, rezeki yang sentiasa dicukupkan, harta yang dilimpahi, hari-hari yang dilalui penuh dengan kehidupan yang bermakna.
Sehingga…
kita merasa di atas tanpa mahu memandang ke bawah,
kita merasa senang tanpa mahu menyumbang pada yang susah
kita menyimpan apa yang kita punya tanpa mahu berkongsi walau sedikit cuma.
Kita hidup dengan diri kita sendiri sedang itu semua Allah beri untuk menguji kita.
Aku beringat buat diri sendiri bahawa semua yang aku miliki ini adalah pinjaman semata lalu mengapa mahu merasanya sendiri sedang hidup ini adalah kebersamaan. Dunia ini adalah perkongsian yang kita saling melengkapi untuk kelangsungan hidup bersama.
Setiap dari kita takkan menemui kesempurnaan sekiranya itulah yang membataskan diri untuk beramal, berkongsi dan memanfaatkan potensi jua kelebihan diri untuk urusan kita sesama manusia dalam menolong agama Allah.
Kesempurnaan takkan bertamu melainkan setiap diri kita sedang menuju kepada pembaikan…hijrah dan terus hijrah. Aku jua adalah insan yang banyak dosanya, sering melakukan kesalahan dan tak terlepas dari sifat lalai dan lupa.
Namun bertekad pada diri bahawa setiap dari kita akan menggunakan kesempatan untuk menyumbang walau cuma dengan sebaris kata nasihat kerana kita tidak tahu mungkin itulah yang menjadi amal yang dikira dan diganjarkan baik di sisi Allah. Syaratnya hanya satu, hati perlu disucikan agar segala yang dilakukan ikhlas kerana Allah - insyaAllah.
Tak perlu sumbangan yang besar untuk memberi manfaat kepada orang di sekeliling kita. Cukuplah dengan rasa tanggungjawab kita sebagai manusia untuk memberi dan terus memberi. Menyumbang dan terus menyumbang. Berbakti dan terus berbakti. Semuanya sebagai infak kita di jalan Allah. Apabila kita permudahkan urusan hambaNya yang lain, Allah akan memudahkan dan meluruskan jalan kita. InsyaAllah biiznillah.
Tuesday, December 7, 2010
Menyorot Diri di Lembaran Baru
Memandang semalam yang ditinggalkan
Menjenguk hari ini yang tiba
Mengungkap esok tanpa jawapan
Termangu, terkaku
Pada hari-hari yang ditinggalkan
Pada episod kelmarin
Yang segar dalam ingatan
Ya, aku terpaku
Pada diri yang kelesuan
Pada perjalanan yang panjang
Pada tahap yang entah di mana
Persoalan pada diri
Di manakah aku kini?
Andai yang telah dilalui
Penuh dosa dan noda
Kealpaan kekhilafan
Apakah untuk hari ini
Bakal kejejak kembali
Tidak puaskah pada semalam
Yang sudah cukup menghantui
Adakah sekadar lembaran
Tanpa memikirkan perhitungan
Tanpa memikirkan tujuan
Tanpa memikirkan perbaikan
Sedih,
Sungguh sedih sekali
Adakah tangisanku didengar
Adakah keampunan telah tertunai
Apakah hati dan jiwa telah dibersihkan
Aku,
Terlalu malu
Apa yang telah kutinggalkan
Masih belum cukup
Untuk persaksian dan persembahan
Perjalananku,
Masih jauh beronak liku
Menyulam sabar dalam payah
Masih tunduk meminta tunjuk
Menyorot diri di lembaran baru
Memautkan keinsafan
Mengundang seribu persoalan pada diri
Pada jawapan yang bakal kuberi
Andai hari ini terhenti
Menuju destinasi abadi
Salam Ma’al Hijrah. Datang tetamu Muharam menjadikan tahun berganti lagi. Merenung masa depan membilang dekatnya hari, bertambahnya usia mengingatkan pada satu titik noktah iaitu kematian yang bakal bertamu.
Tuesday, November 16, 2010
Pagi Ini.
Pagi ini aku disuntik oleh semangat pejuang yang tegar mempertahankan perjuangannya.
Kini,
Apa yang aku gusarkan
Apa yang aku gundahkan
Apa yang aku persoalkan
Apa yang aku minta petunjuk dariNya
Semakin pasti jawapan
Aku semakin pasti di sini
Di saat aku membilang dan menanti
Menjengah imbasan hari esok
Dengan noktah semalam
Harapan hari ini dengan pengertian
Namun esok yang bakal kutempuh
Bukan semudah bicara bibir
Bukan semudah sekilas pandangan
Bukanlah mudah tafsirannya
Bicaranya pada aku yang melaksanakan
Buktinya pada aku yang menyimpulkan
Biarlah kaki ini terus melangkah
Mula tatih yang perlahan
Hingga lari yang kencang
Panjang…
Memang panjang perjalanan
Meski singkat yang dirasa
Namun
Jangan ada yang pergi
Jangan ada yang berlalu
Hanya bayangan tanpa makna
Friday, November 12, 2010
Setia
Sudah lama tidak menukilkan coretan diri di blog ini. Akal berputar penuh ilham untuk menafsirkan namun kekangan masa menghambatku dari menzahirkan ilham yang ingin dicurahkan.
Kesibukan.
Kini aku laluinya lagi dan sebenarnya memang telah lama aku merindukan saat diri dikerah dan tenaga dimanfaatkan sebaiknya.
Alhamdulillah. Ucapan syukur ke hadrat Ilah yang memudahkan segala urusanku dan menetapkan kakiku untuk menapak lebih jauh lagi.
Kali ini bicaraku tentang setia…
Apa yang difikirkan andai setia menjadi persoalan di minda. Adakah di fikiran akan mengikat makna setia pada seorang teman yang dianggap kekasih…seseorang yang bernama insan. Jika makna setiamu berada di lingkungan itu maka sebenarnya kita telah gagal menguasai kesetiaan yang hakiki.
Luaskan pemikiranmu, lihatlah dengan pandangan yang terbuka dalam mentafsirkan kesetiaan dalam diri kita.
Ini adalah bicara tentang kesetiaan seorang hamba kepada Ilah, apakah pernah kita menilai kembali kesetiaan yang besar ini sebelum kita mahu bicara tentang menjadi seorang yang setia kepada insan yang tidak layak bagi kita sebelum tiba waktunya untuk kita benar-benar menjadi seorang yang setia kepadanya…?
Bukan niatku untuk menilai tetapi perbanyakkan bertanya kepada diri kita sendiri…
Allah sebenarnya telah mengajari hambaNya untuk menjadi seorang yang setia dengan menyuruh kita menjadi seorang hamba yang taat kepadaNya. Cinta kepada Allah bukanlah sekadar memenuhi ketaatan tetapi pembuktian kesetiaan. Allah menguji keimanan untuk melihat sejauh mana kesetiaan kita kepadaNya.
Adakah sekadar cukup pada setia apabila dicurahkan nikmat namun menjauh dari sisi Tuhan saat Dia menurunkan penderitaan?
Ada pula yang cukup setia saat hari-hari kesusahan namun apabila kesenangan tiba…kesetiaan digadaikan?
Aku bertanya kepada diri…adakah aku setia pada Rabb yang Azali?
Aku takut jika nanti aku tidak setia, maka Allah akan memutuskan tali pengikat kesetiaan seorang hamba dan Khalik. Saat itu kepada siapa lagi perlu dirujuk andai yang Maha Kuasa tidak lagi setia padaku. Apalah gunanya setia yang lain itu…
Menjadi seorang yang setia memang bukan mudah tetapi betapa mudahnya untuk setia jika kita tahu akan sebab untuk setia. Perkara yang dinamakan ujian itu takkan pernah lekang untuk singgah di sepanjang kehidupan, kesetiaan menjadi taruhan. Kita diuji untuk tetap setia patuh melaksanakan perintahNya, menyampaikan seruanNya dan setia dalam beramal di saat sendiri dan di saat keramaian. Saat itu, kita boleh mengukur tahap kesetiaan kita berada di aras yang mana.
Di aras manakah kesetiaan kita kepada Ilah?
Seseorang yang dapat menguasai kesetiaan yang besar ini adalah sangat menakjubkan dalam memberi kesetiaan apabila dia harus memberikan kepada yang selayaknya. Contohnya mari kita lmelihat kepada seorang insan hebat yang bernama Saidina Abu Bakar, seorang hamba Allah yang hebat. Sahabat Rasulullah SAW ini sangat hebat dalam kesetiaannya pada persahabatannya, saat hebat dalam kesetiaannya sehingga digelar as-Siddiq iaitu sehingga pada tahap sentiasa membenarkan setiap butir kata sahabat tercintanya, Rasulullah SAW.
Friday, November 5, 2010
MULA
Mengorak langkah terus mara
Biar aku sedang melangkah
Langkah ini disusun untuk mewarnai
Langkah yang telah kuatur
Tiada ragu tanpa rahsia
Jalan yang diatur
Perlu lurus dan tulus
Sepanjang laluan
Aku bertafakur
Mencari makna mendamba kepastian
Dalam kebenaran
Kulihat kejernihan
Kesucian pada jiwa-jiwa
Zahirkan apa yang kurasa
Berikan apa yang kupunya
Adakah semuanya telah jelas buatku?
Apakah simpang telah berjaya ditempuh
Jalan-jalan ini
Bukan mutlak buatku
Dedikasinya pada seluruh semesta
Titik mula pada sifarnya kita
Kosong tak punya apa
Dan bercambah hasilnya ada
Terbina dikit demi dikit
Membentuk apa yang bakal kupunya nanti
Friday, October 29, 2010
10 Soalan Sebelum Meminang
Setiap pasangan yang berkahwin pastinya mengharapkan perkahwinan itu kekal bahagia buat selama-lamanya. Ramai yang berjaya. Namun tidak kurang pula yang kecewa.
Al-Ustaz Jasim Muhammad al-Mutawwa’, bekas kadi ahwal syakhsiyyah di Kuwait yang kini aktif mengadakan program-program berbentuk bimbingan kekeluargaan, berdasarkan pengalaman dan pengamatannya ketika mengendalikan kes-kes berkaitan dengan masalah rumahtangga menyimpulkan antara sebab berlakunya keretakan dan kegagalan dalam perkahwinan adalah kurang taaruf atau tidak mengenali antara satu sama lain dengan mendalam sebelum berkahwin.
Taaruf yang mendalam atau mengenali bakal teman hidup sebelum melangsungkan perkahwinan sangat penting demi menjamin kesejahteraan dan keseimbangan dalam menjalani kehidupan berumahtangga. Ini tidak bermakna pasangan mesti melalui alam percintaan sebelum berkahwin, kerap bertemu dan berhubung melalui panggilan telefon, sms, chating dan sebagainya.
Percintaan sebelum berkahwin seperti yang dilakukan oleh segolongan masyarakat dan ditonjolkan dalam segala macam media sebagai suatu kemestian, suatu dunia yang penuh dengan keindahan dan keseronokan adalah sebenarnya penipuan belaka. Alam percintaan tidak mendedahkan hakikat diri yang sebenarnya. Masing-masing berusaha menunjukkan yang terbaik sahaja di hadapan pasangannya. Setelah berkahwin barulah terbongkar segala rahsia, segala perangai dan sikap buruk yang selama ini disembunyikan.
Untuk mengenali calon pasangan hidup anda dengan mendalam, al-Ustaz Jasim Muhammad al-Mutawwa’ mencadangkan agar anda mengajukan 10 soalan. Soalan-soalan ini boleh diajukan secara langsung semasa sesi taaruf, atau melalui orang tengah. Jika calon memilih untuk bertemu, melihat dan berkenalan pastikan pertemuan itu tidak dilakukan secara berdua-duaan di tempat suci dan terpencil. Jangan cemari niat yang suci dengan melanggari perintah Allah dan Rasul. Jangan relakan syaitan menjadi orang ketiga di antara anda dengan si dia.
10 soalan itu adalah:
1. Apakah wawasan hidupnya?
Setiap orang mempunyai wawasan dan cita-cita yang ingin dicapai dalam hidupnya. Inilah yang perlu anda ketahui mengenai bakal pasangan hidup anda. Sekiranya anda dan dia mempunyai wawasan dan matlamat hidup yang sama maka perselisihan dalam rumahtangga akan berkurangan.
2. Bagaimanakah kefahamannya mengenai konsep perkahwinan?
Kefahaman serta tasawur yang jelas mengenai perkahwinan amat penting. Sekiranya kedua-dua pihak mempunyai kefahaman yang berbeza, umpamanya satu pihak menganggap perkahwinan hanya sekadar memenuhi tuntutan nafsu semata-mata, sedang satu pihak lagi memandang sebagai satu ibadah, sudah semestinya rumahtangga yang bakal dibina tidak akan aman daripada perselisihan dan pergaduhan.
3. Apakah sifat-sifat yang digemari dan tidak digemarinya?
Adalah penting bagi setiap pasangan mengetahui kegemaran pasangannya, apa yang disukai dan tidak disukainya kerana kadang-kadang perselisihan berlaku disebabkan kelainan kegemaran dan citarasa. Sekiranya kegemaran setiap pihak diketahui terlebih awal mungkin perselisihan dapat dielakkan.
4. Apakah pandangannya mengenai anak pada tahun pertama perkahwinan?
Setiap orang mempunyai pandangan yang berbeza mengenai masa yang sesuai untuk menimang cahaya mata. Sekiranya satu pihak belum bersedia sedang pihak yang satu lagi sudah tidak sabar untuk bergelar ibu atau ayah, pastilah kedua-dua pihak akan berasa tertekan dan perhubungan akan jadi tegang.
5. Adakah dia mempunyai masalah kesihatan atau kecacatan?
Masalah kesihatan yang kronik atau kecacatan semula jadi pada anggota badan tidak wajar disembunyikan. Mengetahui adanya penyakit atau kecacatan tertentu akan mempengaruhi keputusan yang bakal diambil. Menyembunyikan penyakit yang kronik atau kecacatan yang mengaibkan boleh dianggap sebagai satu penipuan.
6. Adakah dia seorang yang suka bergaul?
Sesetengah orang suka bergaul dengan pelbagai lapisan masyarakat, mempunyai kawan dan kenalan di merata-rata tempat. Sesetengah yang lain pula suka menyendiri, tidak pandai berkawan dan sukar didampingi. Orang macam mana yang anda cari?
7. Bagaimana hubungannya dengan ahli keluarganya?
Perkahwian bukan sekadar aqad yang mempertemukan antara dua jiwa. Sebaliknya perkahwinan merupakan hubungan kemasyarakatan yang mencantumkan antara dua keluarga atau lebih. Oleh itu bakal tunangan harus tahu status keluarga serta hubungan mereka antara satu sama lain. Hubungan kekeluargaan juga sedikit sebanyak menggambarkan keperibadian seseorang.
8. Apakah kegemarannya dan bagaimana dia mengisi waktu lapangnya?
Kegemaran serta cara seseorang memenuhi masa lapangnya juga memberi gambaran tentang wawasan serta cita-citanya dalam hidup ini.
9. Adakah dia aktif dalam mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau pertubuhan kebajikan?
Keaktifan dalam persatuan kebajikan atau pertubuhan sukarela menggambarkan dia bukan seorang yang sombong dan mementingkan diri. Orang yang hidupnya sekadar untuk memenuhi cita-cita dan wawasan peribadi semata-mata sebenarnya hidup dalam dunia yang sempit dan mati sebagai insan yang kerdil. Tetapi orang yang hidup dalam perjuangan akan hidup sebagai insan yang hebat dan apabila dia mati namanya akan dikenang zaman-berzaman.
10. Apakah pandangannya sekiranya ibu bapa masuk campur dalam urusan peribadi atau urusan rumahtangga mereka?
Setengah orang menganggap rumahtangga adalah masalah peribadi yang terlalu khusus. Tiada seorang pun yang boleh masuk campur walaupun ibu bapa sendiri. Hal ini sangat penting diketahui oleh setiap orang yang akan memasuki gerbang perkahwinan. Apakah pandangan bakal pasangan hidupnya. Adakah dia termasuk dalam golongan di atas atau sebaliknya seorang yang terlalu bergantung kepada kedua-dua ibu bapanya walaupun telah berkeluarga?
Apabila anda telah mendapat jawapan yang bersesuaian dengan apa yang dicari, maka teruskanlah hasrat anda untuk melamarnya. Begitu juga halnya dengan pihak yang dilamar. Pastikan anda mengenali jejaka yang melamar itu dengan mengajukannya 10 soalan di atas.
Ustazah Maznah Daud
Ketua Wanita
Pertubuhan IKRAM Malaysia
"Ukhuwah Teras Kegemilangan"