[Road to Sarawak: 6-9 September 2011]
Friday, December 9, 2011
Warna Warni 2011: Kuching
[Road to Sarawak: 6-9 September 2011]
Thursday, December 8, 2011
Ini mujahadahku dan mujahadah buat dirimu…
Kita,
Menghampiri dunia yang semakin sukar difahami lagi,
Gejala, masalah, kepincangan semakin hampir dengan diri,
Ya, semakin hampir dengan diri-diri kita.
Dengarkanlah wahai sahabat,
Tika kesepian menerjah
Tika hati merasai kekosongan
Jiwa kian pasrah
Air mata terasa benar cairnya.
Aduh,
Aku ini bagai tiada siapa menyedari
Bagai tiada siapa memahami
Bagai tiada seorang sudi menemani
Pintaku bukan pada indahnya mimpi
Tetapi kasih sejati penuh redha Ilahi.
Duhai sahabat,
Andai engkau begitu,
Bukan dikau seorang seperti itu
Mengalami peritnya menunggu pendamping diri.
Duhai sahabat,
Ingin aku khabarkan waktu ini
Sesungguhnya engkau tidak sendiri
DIA sentiasa mengetahui, Maha Mengetahui.
Dia sedari setiap rintihanmu,
Dia memandang duka tangismu
Dia memahami situasimu.
Namun mari kita singkap jendela dunia,
Akan kau dapati
Ramainya insan sepertimu
Mendamba kekasih hati
Malangnya segala diberi
Hingga benih terlarang tumbuh membumi
Kerana keimanan yang goyah pada diri
Kerana kesabaran tidak dipelihara teguh dalam diri.
Damaikanlah dirimu sang pencari,
Setiap penantianmu pahala menanti
Setiap kesabaranmu dikira Ilahi
Jangan mudah mendengar kata hati
Sehingga lupa firman Rabbi
‘La Takrobuzzina’
Janganlah kamu menghampiri zina
Ini adalah mujahadahku,
Mujahadah buat dirimu teman
Kerana penantianmu itu ujian keimananmu
Moga nanti sang mujahid dihadapanmu ;)
Khair Hibballillah. 7 Dis 2011. 0000 am.
Wednesday, December 7, 2011
Ada Satu Kisah. Kisah Realiti Cinta.
Kisah ini kisah benar yang mungkin boleh diambil iktibar.
Ada seorang lelaki yang peribadinya baik dan soleh sedang mencari jodoh buat dirinya. Sudah lama dia mencari tetapi dia belum menemuinya. Pada waktu yang sama, dia menyerahkan urusan jodohnya kepada keluarga tercinta. Suatu ketika, ada seorang gadis yang tiba-tiba hadir dalam hidupnya. Baginya, bukanlah mudah untuk dia tertaut pada seseorang. Apatah lagi dia telah meletakkan ciri-ciri seorang wanita yang solehah dan menitikberatkan soal agama sebagai kayu ukur penting dalam pemilihan teman hidupnya.
Sehinggalah tibanya suatu masa,
Seorang gadis hadir dalam hidupnya. Pada perawakan si gadis, ada sesuatu yang menarik hatinya. Dia menyedari perasaan itu. Suatu perasaan kasih telah berputik di dalam dirinya. Dia cuba mengenali si gadis dengan cara terbaik yang dianjurkan Islam. Dia mengenali dan mendekati setiap insan yang rapat dengan gadis tersebut. Mengenali terutamanya keluarga si gadis sehingga akhirnya dia telah membulatkan tekad bahawa si gadis itu adalah pilihan hatinya. Dia menyampaikan hasrat itu kepada kakak si gadis tetapi dia menyatakan bahawa dia masih tidak mampu mengikat apa-apa janji kerana dia perlu terlebih dahulu memohon restu pihak keluarganya.
Perkhabaran tentang hasrat si lelaki itu telah sampai kepada si gadis. Si gadis itu mengakui lelaki tersebut pada pandangannya adalah seorang lelaki yang baik dan soleh malah mempunyai pekerjaan dan hala tuju masa depan yang jelas. Namun tidak pula dia merasai perasaan suka mahupun gembira. Gadis tersebut telah beberapa kali dipertemukan dengan lelaki tersebut dengan kehadiran mahram disisinya. Hatinya bercampur baur. Meskipun pada saat itu keluarga si gadis telah menerima sekiranya benar lelaki itu jodoh buatnya. Namun hatinya masih lagi tidak dapat menerima lelaki itu. Kegusaran hatinya membuatkan si gadis terus menerus berdoa dan istikharoh meminta petunjuk. Baginya, hal tersebut menuntut campur tangan dan ketentuan terbaik dari yang Maha Mengetahui.
Masa terus berlalu dan lelaki itu semakin yakin dengan hasrat hatinya. Dalam prosesnya memohon restu pihak keluarga, pada masa yang sama keluarga si lelaki tersebut telah mengaturkan pilihan jodoh untuk si lelaki tersebut.
Saban hari saban waktu, gadis itu semakin gelisah dengan petunjuk yang tidak jelas. Dia masih samar-samar lagi sama ada untuk memastikan benarkah jodohnya telah sampai. Keadaan yang semakin mendesak menyebabkan si gadis yang seluruh jiwanya tiada pada lelaki tersebut telah membulatkan tawakal kepada Ilahi.
“Ya Allah, petunjuk yang aku pohon dariMu membawa aku ke daerah yang penuh kesamaran dan hati yang tidak cenderung pada urusanku ini maka jika benar ini petunjuk bahawa dia bukan untukku, aku bermohon Kau jauhkanlah dia dariku agar terlerai ikatan permasalahan ini. Moga dengan itu terjauhlah aku daripada fitnah yang datang.”
Si gadis terus menerus dengan permohonannya itu.
Selang tidak beberapa lama maka ditakdirkan lelaki itu telah ditukarkan kerja ke tempat yang jauh dan pada waktu yang sama keluarganya serius mengaturkan perkahwinan lelaki itu dengan seorang gadis dari kampungnya. Lelaki itu berat hati untuk mengecewakan permintaan ibubapanya dan dia telah mengutamakan permintaan ibubapanya daripada permintaan hatinya terhadap si gadis tersebut.
Legalah si gadis dan terungkailah jawapan seperti yang dia kehendaki Allah putuskan buatnya.
Andai anda di tempat lelaki itu, apakah yang akan anda lakukan?
Andai anda menjadi gadis tersebut, bagaimana anda menerimanya?
Sesungguhnya soal jodoh ini adalah rahsia yang besar yang menuntut penelitian sebaiknya. Kisah kita, masih dalam pengetahuan Allah Ta’ala. Sedarkah kita, andai betapa jauh kita mengenali dan mencintai seseorang tetapi jika tidak kita segera jalan menuju titik penyatuan kasih yang benar maka kita sebenarnya melalui jalan yang tidak pasti.
Pada anggapan kita, mungkin si dia itu jodoh kita tetapi kita sendiri tidak bersungguh untuk mengikat kisah cinta kita itu mengikut syari’at Islam. Andai belum pasti, jangan menabur janji wahai lelaki.
Wahai gadis, usah bersedih dengan ketentuan yang belum pasti. Andai telah kita berusaha menemukan jodoh tetapi masih tidak menjadi, Allah hanyalah mahu melihat sejauh mana tahap kesabaran dan ketabahan kita.
Pandanglah sekeliling. Sesungguhnya andai kita rasa nasib kitalah paling malang sekali….perhatikanlah bahawa ada insan yang lebih berat ujianNya tetapi masih tetap tenang dan tabah melaluinya. Teruskan kehidupanmu, lalui setiap detik dengan penuh syukur, perbanyakkan meringankan beban orang lain. InsyaAllah semoga Allah juga akan meringankan setiap urusan kita.