"Sesungguhnya di dalam hati itu ada 1 kekosongan yang tidak akan terhapus melainkan kekosongan itu diisi dengan ALLAH. Dan di dalamnya ada 1 kesedihan yang tidak dapat dihapuskan melainkan dengan kegembiraan mengenali ALLAH dan taat kepadaNya" - Ibnu Qayyim Al-Jauziyah.

Thursday, January 13, 2011

Bukan Sepertiku

Pada jalan-jalan yang kau lalui

Pada jalan-jalan yang telah kutempuhi


Pada satu jalan

Kita menapak langkah demi langkah

Sedar atau pun tidak

Kita sebenarnya sedang sama-sama

Menuju ke destinasi yang satu


Pada bicara yang kututur

Pada tindak yang kugagahi

Semuanya terletak pada keterbatasan diri


Andai ada kata pengguris jiwa

Jangan disimpan meniti masa

Andai ada tindak tak menyenangkan

Jangan pada pandangan sahaja

Katakan keranaku bisa menerima

Biar pahit ditelan rasa


Andai ada teguran kutuju

Jangan sangka aku menunjuk pandai

Andai ada cuba kulihat kesilapanmu

Jangan sangka aku suka-suka

Mengintai aib pada diri insan

Sedang aku cuma

Cuma semata mahu kau menyedari

Menjadi lebih baik dan memperbaiki pada dirimu

Bukan sepertiku

Dan jangan sepertiku


Entah-entah

Dalam bicara aku khilaf

Dalam nasihat aku lupa

Lupa pada diri sendiri

Alpa pada ingatan sendiri

Abai pada amal kendiri

Lalu siapalah yang aku harapkan

Melainkan kau

Yang melihat segala kurangku

Kerana kita sama tak bisa sempurna

Sering pula menjadi lupa

Pada tujuan diri sebagai HAMBA


Khair Hibballilah. 13 Jan 2011. 3.30pm

Wednesday, January 12, 2011

Ruhul Jadid

Ruhul Jadid – ruh baru.

Bicara ini tiba-tiba bermain di fikiran. Telah aku temukan di sini?


Shah Alam -> Batu Pahat -> Kulai

Daerah yang telah kulalui dan sedang kutempuhi.

Setiap daerah ini mempunyai kisahnya tersendiri, kisah yang ingin aku khabarkan adalah perjalanan tarbiyahnya ketika berada di daerah-daerah tersebut.


-Shah Alam


Pastinya, ruh yang aku temukan, perjalanan yang masanya singkat tetapi pengalamannya sungguh bernilai buat diri ini adalah ketika di Shah Alam. Rindu pada tarbiyah akan membawakanku kepada Shah Alam. Tarbiyah sewaktu pengajian yang apabila kunilai kini amat bergerak, mantap dan produktif. Jiwa dan semangat muda lah katakan!


Sahabat-sahabat di sana, akhawat sentiasa berlegar di kotak ingatan ini. Tak mungkin dapat dilupakan kerana membangunnya diri ini adalah bermula dengan kalian.


-Batu Pahat


Tanah kelahiran yang jika sebelum ini, pulang pada cuti semester tidak berisi. Tak dimanfaatkan sebaiknya, duduk terperuk di rumah sehingga menghadirkan kebosanan. Namun setelah habis pengajian, aku tak berhenti menghubungi akhawat di BP untuk meneruskan pentarbiyahan. Tarbiyah perlu diakarumbikan dalam diri seseorang muslim itu. Alhamdulillah, dipertemukan dengan ‘geng BP’ iaitu Kak Fifi dan Kak Jannah. Bersama-sama menggapai matlamat menyusun langkah dan berkongsi setiap rasa, suka dan duka ditempuhi bersama. Hala tuju kita satu dan padu.


Kak Fifi: Teringat pada banyaknya impian yang serupa antara kita berdua. Angan-angan…adakah kita sekadar mahu ianya menjadi angan-angan..? Oh tidak, aku harap semoga kita Berjaya menggapainya insyaAllah. Allahuma amen!


Kak Jannah: Kita telah banyak bersama, berkongsi masa dan rasa. Kita telah juga banyak belajar dari kehidupan ini. Dari perkongsianmu, ku beroleh manfaat dan iktibar. Dari perkongsianku, moga ada sesuatu yang boleh dipelajari. Harapnya begitulah kak. Berbakti di tanah kelahiran sendiri membawaku belajar mencintai dan menghargai.


-Kulai


Kini. Waktu ini dengan kudrat keizinannya aku berbakti di bumi Kulai ini. Sesungguhnya, daerah ini jauh sekali dalam perancangan masa depanku melainkan aku hanya ingin terus berada di Shah Alam. Sepertimana aku dan Kak Jannah, kami kembali ke pangkuan keluarga setelah selesai pengajian. Itu bukanlah sebab untuk kami berhenti dan berlalu. Kak jannah masih di BP namun sedang meniti hari-hari untuk kembali menyambung pengajian Ijazah Sarjana. Alhamdulillah, rezekinya di situ.


Perjalanan tarbiyah setelah bekerja dan sewaktu belajar amat-amatlah berbeza. Bolehkah untuk aku katakan bahawa aku juga dalam proses menyesuaikan diri’ dalam situasi tarbiyah yang berbeza ini. Suasananya berbeza dan menuntut aku untuk benar-benar faham suasana tarbiyahnya. Kulai masih banyak memerlukan ‘Ruhul Jadid’ dan aku sendiri juga perlu mendatangkan ruh dalam membina semangat dan kekuatan untuk bergerak di wilayah baru ini.


Setiap daerah yang ditapaki menambah pengalaman buat diri. Kita sebenarnya sedang belajar dan mendalami…dan semoga itulah jua yang diperolehi oleh diri ini.


Bawalah ruh-ruh baru ke daerah-daerah baru yang perlu dijejaki.


Menghidupkan tarbiyah dengan ‘Ruhul Jadid’…

Tuesday, January 4, 2011

Tetamu Allah

Menjadi tetamu Allah…menjejak tanah Haramain…impian yang semoga diperkenankan Allah pada masa dan waktu yang terbaik nanti.


Tiba-tiba kerinduan diri semakin memuncak kepada tanah Haramain selepas pertemuan dengan sahabat satu kuliah di universiti. Walau hanya kami bertiga. Kami memang merancang pertemuan tambahan pula salah seorang sahabatku ini baru sahaja pulang dari menunaikan Haji.


Tumpang gembira buatnya yang telah dijemput terlebih dahulu untuk menjadi tetamu Allah. Sungguh istimewa…cemburu sungguh!


Makkah dan Madinah.


Destinasi yang sentiasa diimpi untuk dijejaki. Tanah yang diberkahi dan penuh rahmah.


Bertemu sahabatku, Mun (nama panggilan) memang penuh cerita. Ceritanya membuat diri semakin rindu untuk bertandang ke sana.


Menjadi tetamu Allah bukan sebarang. Diri kita dari hujung rambut ke hujung kaki perlu disucikan lebih-lebih lagi sang hati. Pada waktu ini, keimanan kita diuji. Keyakinan tak berbagi pada janji Ilah itulah yang utama.


Sahabatku, semoga segala amalmu diterima Allah dan diganjarkan sebaiknya. Semoga Haji yang dilalui membawa hijrah fil khair yang lebih besar selepas ini. Allahumma amen ya Rabbal ‘Alamin.

Ayuh Bersama!

Apabila sejenak meluangkan masa dengan seorang adik yang mahu perhatian…cuba menyelami hatinya dan memahami perasaannya. Melihat pada redup wajahnya bagaikan aku mendengar lontaran,


“Saya Mahu Berubah!”

“Saya Nak Menjadi Baik!”

“Saya mahu dan mahu! Tapi saya tidak mampu!”


Seketika bersamanya, mendengar luahan yang terbuku di lubuk hati. Perkongsian yang mengharapkan pengertian, baginya sekadar cukup punya seorang insan di sisi untuk mendengar dan memberi mutiara kata yang dapat menyegarkan jasadnya yang kelayuan.


Kami masih berhubung setelah dia mengikuti program yang dianjurkan dan aku menjadi salah seorang fasilitator pada masa itu.


Aku mendengar khabar bahawa dia dirundung penyesalan, memohon keampunan atas segala yang pernah dilalui dahulu dan setulusnya dia memang mahu menjana perubahan yang besar dalam diri.

***

Sekadar berkongsi cerita yang sedikit ini, sebenarnya dunia ini penuh dengan insan-insan yan seperti itu. Ingin menganjak jalan yang lurus meninggalkan kebengkokan jalan yang pernah dilalui dahulu.


Mereka sebenarnya mencari sang insan yang sudi menyambut huluran tangan, mampu dipimpin bersama, mahu seiringan dalam gerak langkah.


Tapi siapakah yang sudi melakukan itu semua?


Sedang kita semua (masing-masing) sibuk tentang perihal diri sendiri?


Menyingkap dunia luar yang mempunyai 1001 cerita, yang kisahnya pelbagai seharusnya mendatangkan rasa syukur buat diri bahawa Allah telah menyediakan lapangan yang baik buat diri kita.


Keluarga yang bahagia, rezeki yang sentiasa dicukupkan, harta yang dilimpahi, hari-hari yang dilalui penuh dengan kehidupan yang bermakna.


Sehingga…

kita merasa di atas tanpa mahu memandang ke bawah,

kita merasa senang tanpa mahu menyumbang pada yang susah

kita menyimpan apa yang kita punya tanpa mahu berkongsi walau sedikit cuma.

Kita hidup dengan diri kita sendiri sedang itu semua Allah beri untuk menguji kita.


Aku beringat buat diri sendiri bahawa semua yang aku miliki ini adalah pinjaman semata lalu mengapa mahu merasanya sendiri sedang hidup ini adalah kebersamaan. Dunia ini adalah perkongsian yang kita saling melengkapi untuk kelangsungan hidup bersama.


Setiap dari kita takkan menemui kesempurnaan sekiranya itulah yang membataskan diri untuk beramal, berkongsi dan memanfaatkan potensi jua kelebihan diri untuk urusan kita sesama manusia dalam menolong agama Allah.


Kesempurnaan takkan bertamu melainkan setiap diri kita sedang menuju kepada pembaikan…hijrah dan terus hijrah. Aku jua adalah insan yang banyak dosanya, sering melakukan kesalahan dan tak terlepas dari sifat lalai dan lupa.


Namun bertekad pada diri bahawa setiap dari kita akan menggunakan kesempatan untuk menyumbang walau cuma dengan sebaris kata nasihat kerana kita tidak tahu mungkin itulah yang menjadi amal yang dikira dan diganjarkan baik di sisi Allah. Syaratnya hanya satu, hati perlu disucikan agar segala yang dilakukan ikhlas kerana Allah - insyaAllah.


Tak perlu sumbangan yang besar untuk memberi manfaat kepada orang di sekeliling kita. Cukuplah dengan rasa tanggungjawab kita sebagai manusia untuk memberi dan terus memberi. Menyumbang dan terus menyumbang. Berbakti dan terus berbakti. Semuanya sebagai infak kita di jalan Allah. Apabila kita permudahkan urusan hambaNya yang lain, Allah akan memudahkan dan meluruskan jalan kita. InsyaAllah biiznillah.