"Sesungguhnya di dalam hati itu ada 1 kekosongan yang tidak akan terhapus melainkan kekosongan itu diisi dengan ALLAH. Dan di dalamnya ada 1 kesedihan yang tidak dapat dihapuskan melainkan dengan kegembiraan mengenali ALLAH dan taat kepadaNya" - Ibnu Qayyim Al-Jauziyah.

Friday, October 29, 2010

10 Soalan Sebelum Meminang

Membuat keputusan untuk berkahwin bukanlah suatu perkara yang mudah. Perkahwinan bererti memasuki suatu alam yang berlainan sama sekali dengan alam yang pernah dilalui sebelumnya, bak kata Tan Sri S M Salim dalam salah satu lagunya, ‘dulu lain sekarang lain, dulu bujang sekarang dah kahwin’.

Setiap pasangan yang berkahwin pastinya mengharapkan perkahwinan itu kekal bahagia buat selama-lamanya. Ramai yang berjaya. Namun tidak kurang pula yang kecewa.

Al-Ustaz Jasim Muhammad al-Mutawwa’, bekas kadi ahwal syakhsiyyah di Kuwait yang kini aktif mengadakan program-program berbentuk bimbingan kekeluargaan, berdasarkan pengalaman dan pengamatannya ketika mengendalikan kes-kes berkaitan dengan masalah rumahtangga menyimpulkan antara sebab berlakunya keretakan dan kegagalan dalam perkahwinan adalah kurang taaruf atau tidak mengenali antara satu sama lain dengan mendalam sebelum berkahwin.

Taaruf yang mendalam atau mengenali bakal teman hidup sebelum melangsungkan perkahwinan sangat penting demi menjamin kesejahteraan dan keseimbangan dalam menjalani kehidupan berumahtangga. Ini tidak bermakna pasangan mesti melalui alam percintaan sebelum berkahwin, kerap bertemu dan berhubung melalui panggilan telefon, sms, chating dan sebagainya.

Percintaan sebelum berkahwin seperti yang dilakukan oleh segolongan masyarakat dan ditonjolkan dalam segala macam media sebagai suatu kemestian, suatu dunia yang penuh dengan keindahan dan keseronokan adalah sebenarnya penipuan belaka. Alam percintaan tidak mendedahkan hakikat diri yang sebenarnya. Masing-masing berusaha menunjukkan yang terbaik sahaja di hadapan pasangannya. Setelah berkahwin barulah terbongkar segala rahsia, segala perangai dan sikap buruk yang selama ini disembunyikan.

Untuk mengenali calon pasangan hidup anda dengan mendalam, al-Ustaz Jasim Muhammad al-Mutawwa’ mencadangkan agar anda mengajukan 10 soalan. Soalan-soalan ini boleh diajukan secara langsung semasa sesi taaruf, atau melalui orang tengah. Jika calon memilih untuk bertemu, melihat dan berkenalan pastikan pertemuan itu tidak dilakukan secara berdua-duaan di tempat suci dan terpencil. Jangan cemari niat yang suci dengan melanggari perintah Allah dan Rasul. Jangan relakan syaitan menjadi orang ketiga di antara anda dengan si dia.

10 soalan itu adalah:

1. Apakah wawasan hidupnya?
Setiap orang mempunyai wawasan dan cita-cita yang ingin dicapai dalam hidupnya. Inilah yang perlu anda ketahui mengenai bakal pasangan hidup anda. Sekiranya anda dan dia mempunyai wawasan dan matlamat hidup yang sama maka perselisihan dalam rumahtangga akan berkurangan.

2. Bagaimanakah kefahamannya mengenai konsep perkahwinan?
Kefahaman serta tasawur yang jelas mengenai perkahwinan amat penting. Sekiranya kedua-dua pihak mempunyai kefahaman yang berbeza, umpamanya satu pihak menganggap perkahwinan hanya sekadar memenuhi tuntutan nafsu semata-mata, sedang satu pihak lagi memandang sebagai satu ibadah, sudah semestinya rumahtangga yang bakal dibina tidak akan aman daripada perselisihan dan pergaduhan.

3. Apakah sifat-sifat yang digemari dan tidak digemarinya?
Adalah penting bagi setiap pasangan mengetahui kegemaran pasangannya, apa yang disukai dan tidak disukainya kerana kadang-kadang perselisihan berlaku disebabkan kelainan kegemaran dan citarasa. Sekiranya kegemaran setiap pihak diketahui terlebih awal mungkin perselisihan dapat dielakkan.

4. Apakah pandangannya mengenai anak pada tahun pertama perkahwinan?
Setiap orang mempunyai pandangan yang berbeza mengenai masa yang sesuai untuk menimang cahaya mata. Sekiranya satu pihak belum bersedia sedang pihak yang satu lagi sudah tidak sabar untuk bergelar ibu atau ayah, pastilah kedua-dua pihak akan berasa tertekan dan perhubungan akan jadi tegang.

5. Adakah dia mempunyai masalah kesihatan atau kecacatan?
Masalah kesihatan yang kronik atau kecacatan semula jadi pada anggota badan tidak wajar disembunyikan. Mengetahui adanya penyakit atau kecacatan tertentu akan mempengaruhi keputusan yang bakal diambil. Menyembunyikan penyakit yang kronik atau kecacatan yang mengaibkan boleh dianggap sebagai satu penipuan.

6. Adakah dia seorang yang suka bergaul?
Sesetengah orang suka bergaul dengan pelbagai lapisan masyarakat, mempunyai kawan dan kenalan di merata-rata tempat. Sesetengah yang lain pula suka menyendiri, tidak pandai berkawan dan sukar didampingi. Orang macam mana yang anda cari?

7. Bagaimana hubungannya dengan ahli keluarganya?
Perkahwian bukan sekadar aqad yang mempertemukan antara dua jiwa. Sebaliknya perkahwinan merupakan hubungan kemasyarakatan yang mencantumkan antara dua keluarga atau lebih. Oleh itu bakal tunangan harus tahu status keluarga serta hubungan mereka antara satu sama lain. Hubungan kekeluargaan juga sedikit sebanyak menggambarkan keperibadian seseorang.

8. Apakah kegemarannya dan bagaimana dia mengisi waktu lapangnya?
Kegemaran serta cara seseorang memenuhi masa lapangnya juga memberi gambaran tentang wawasan serta cita-citanya dalam hidup ini.

9. Adakah dia aktif dalam mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau pertubuhan kebajikan?
Keaktifan dalam persatuan kebajikan atau pertubuhan sukarela menggambarkan dia bukan seorang yang sombong dan mementingkan diri. Orang yang hidupnya sekadar untuk memenuhi cita-cita dan wawasan peribadi semata-mata sebenarnya hidup dalam dunia yang sempit dan mati sebagai insan yang kerdil. Tetapi orang yang hidup dalam perjuangan akan hidup sebagai insan yang hebat dan apabila dia mati namanya akan dikenang zaman-berzaman.

10. Apakah pandangannya sekiranya ibu bapa masuk campur dalam urusan peribadi atau urusan rumahtangga mereka?
Setengah orang menganggap rumahtangga adalah masalah peribadi yang terlalu khusus. Tiada seorang pun yang boleh masuk campur walaupun ibu bapa sendiri. Hal ini sangat penting diketahui oleh setiap orang yang akan memasuki gerbang perkahwinan. Apakah pandangan bakal pasangan hidupnya. Adakah dia termasuk dalam golongan di atas atau sebaliknya seorang yang terlalu bergantung kepada kedua-dua ibu bapanya walaupun telah berkeluarga?

Apabila anda telah mendapat jawapan yang bersesuaian dengan apa yang dicari, maka teruskanlah hasrat anda untuk melamarnya. Begitu juga halnya dengan pihak yang dilamar. Pastikan anda mengenali jejaka yang melamar itu dengan mengajukannya 10 soalan di atas.

Ustazah Maznah Daud
Ketua Wanita
Pertubuhan IKRAM Malaysia

"Ukhuwah Teras Kegemilangan"

Wednesday, October 6, 2010

Nawaitu-ketentuan.



Bukan senang membuat pilihan itu saat aku memerlukan semua orang disekeliling faham akan situasiku. Aku bukan saja-saja dan suka-suka. Aku harap semua akan faham. Alhamdulillah sedikit demi sedikit aku telah nampak hikmahnya sekarang.


Aku pernah memasang niat, nawaitu buat diri sendiri tentang sesuatu saat mula-mula aku melangkah di jalan itu. Sungguh Allah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui telah menjadikan nawaitu itu suatu janji buat diriku sendiri. Kini, aku melihat Allah telah kembalikan aku pada nawaitu pertamaku sedang waktu itu aku telah aturkan segalanya dengan baik untuk tetap berada di bumi Shah Alam. Sungguh cantik aturanMu Ya Allah!


Hikmah yang Kau tunjukkan padaku...

Jika aku tak berada di sini saat ini – dulu aku masih ragu-ragu dengan mereka tapi kini aku telah pasti – alhamdulillah jika aku tak berada di sini tentu aku tak tahu yang sebenarnya ibu sangat menyokongku, merestui perjuangan dan langkah anaknya ini. Memang restumu wahai ayah dan ibu yang diri ini harapkan agar kau mengerti apa yang aku lakukan! Terima kasih dengan pengertian yang diberi, terima kasih kerana meminjamkan masa bersama, terima kasih yang tak terhingga!



Hadith 1 dalam susunan Hadith 40 oleh Imam Nawawi:
Segala-galanya bermula dengan NIAT.


Nawaitu..niat pertama,

Amat-amat penting, ingat lagi masa sebelum menempuh latihan industri. Pelbagai dugaan mendatang, cabaran mengasak diri namun aku luruskan niat. Saat aku tak tahu apa yang akan Allah bentang di masa hadapanku, aku berserah merayu berdoa hanya kepadaNya. Allah yang Maha Penyayang melimpahkan kasih menunjuki jalan-jalan dan merenjiskan kesedaran buat diri. Bantuan demi bantuan. Ya Allah, bagaimana harus aku membalas sedang aku tak mampu membalasnya!!! Malu sendiri.


Sejak itu aku berpegang untuk pastikan sentiasa luruskan niat, mohon ditunjukkan 1001 kebaikan dalam setiap tindakan dan dijauhkan segala keburukan yang Dia lebih tahu pada setiap pilihan yang diambil. Rasa penuh rendah diri, aku kembali kepadaMu Ilahi.

Saturday, October 2, 2010

tak terkata!

Terketar-ketar…

Bagai luluh diri ini…

Khabar itu meninggalkan rasa yang membengkak kesakitan di jiwa.


Wahai anak,

Aku melihat kau generasi muda hari ini terlalu terbawa dengan rasa nafsu..adanya nafsu untuk dikawal bukan dipenuhi segala mintanya.

Aku tak minta kau peduli pada perasaan insan lain jika memang kau bukan berperikemanusiaan.


Wahai kamu yg bergelar anak,

Aku terlalu sakit mendengar khabar yang hanya merundung kecewa dihati ini..

Bukan kerana aku peduli padamu tetapi seguris luka yang tercoret sudah cukup untuk membuat bencana kepada dunia hingga kau akui kemudaratan diakhirnya.


Cukuplah,hentikan!

Andai keterlanjuran telah berpaut, sedar-sedarlah dunia ini masih berputar!

Buktikan keinsafanmu..selagi nafas masih berhembus, pintu taubat belum tutup, mohonlah dengan sepenuh hati agar taubatmu diterima Ilahi.


Kata-kataku ini bukan aku membencimu sedang aku tak pernah berhenti berharap pintu hatimu akan terbuka & doaku moga kau dilimpahi taufik hidayahNya.


[buat aku,kau dan kita yang bergelar anak]


Rasa ini aku lontarkan saat aku pedih mendengar…mendengar kisah yang terlalu perit untuk diperkatakan. Saat aku tahu, aku merasai bagaimana remuknya hati dia dan dia, ibu yang mengkandungkanmu dan si ayah yang selalu ingin memberi yang terbaik buatmu. Tidak, aku tak bermakna membencimu tetapi air mataku ini tidak dapat dibendung menangisi bahawasanya sekali lagi keturunan iblis telah berjaya menyantuni nafsu keturunan adam.


Buat ingatan untuk aku menjadikan setiap ketentuan itu pedoman, iktibar buat diri yang sering kealpaan bahawa kaki ini perlu semakin pantas berlari, gerak perlu terus diatur rapi..biar sukar ditelan namun menjadi penambah kekuatan untuk aku terus memberi kesedaran, menyebarkan kebenaran..!


***

Menangislah di Bahuku

Album : Dunia Yang Lebih Indah
Munsyid : Firdaus
http://liriknasyid.com


kau datang padaku seperti biasa
ku sambut bahagia dengan tangan terbuka
kau balas dengan senyuman seadanya
ku tahu ada sesuatu yang berbeza

kau hanya diam seribu bahasa
hanya di matamu yang cuba berbicara
bahwa saat ini hatimu terluka
kau tahu ku ada di sini untukmu

mencuba tak berkedip
menahan tegar di hujung mata
hingga kau pun tak kuasa
berderailah airmata
dalam pelukku kau curahkan semua

menangislah...
kadang manusia terlalu sombong tuk menangis
lalu untuk apa airmata telah dicipta
bukan hanya bahagia yang ada di dunia
menangislah...
di bahuku kau berikanku kepercayaan
bahwa laramu adalah haru biruku
kerna ku adalah sahabatmu

menangislah...(dibahuku ku disini untukmu)
menangislah...(dibahuku kerna ku sahabatmu)

Friday, October 1, 2010

Tarbiyah & Dakwah

Ungkapan-Ungkapan Yang Memberi Semangat Kepada Proses Tarbiyah

Imam Syafi'i mengingatkan :

"Siapa yang tidak belajar (ta'lim) pada masa mudanya maka takbirkanlah empat kali untuk kematiannya. Demi Allah, yang namanya pemuda adalah yang berilmu dan bertaqwa. Jika tidak ada keduanya maka jangan anggap dia itu ada".

Dalam risalah "Adakah Kita Golongan Yang Bekerja", Imam Hasan Al-Banna mengatakan :

"Sesungguhnya tujuan pertama gerakan dakwah adalah mentarbiyah jiwa, memperbaharui ruh dan mengukuhkan akhlak serta menumbuhkan peranan pentingnya di tengah-tengah umat. Mereka meyakini bahwa itu adalah asas pertama yang mesti dibangun untuk kebangkitan umat dan bangsa".

Manakala Syeikh Yusuf Al Qardhawi pula mengungkapkan :

"Adapun tarbiyah adalah perkara terpenting dan utama dalam gerakan dakwah, kerana tarbiyah adalah asas perubahan, dan gelombang kebaikan serta perbaikan. Jika tidak ada maka kehidupan yang bercirikan Islam atau merealisasikan undang-undang Islam hanyalah menjadi mimpi".

Ustaz Mustafa Masyhur pula mengatakan :

"Peribadi muslim adalah tiang bagi keluarga, masyarakat dan negaranya. Jika tarbiyahnya kuat maka kuat pula bangunan tersebut".

Semoga ungkapan-ungkapan tersebut menjadi ruh kekuatan bagi kita untuk mempertingkatkan lagi tarbiyah setelah menyedari bahwa kita sebagai aktivis dakwah adalah aset utama gerakan.

Ya Allah, berilah kekuatan kepada kami untuk kami tetap berjalan di atas jalan dakwah ini sehingga ke akhir hayat kami. Kami memahami bahwa dakwah sepatutnya menjadi tugas dan tanggungjawab setiap aktivis dakwah tanpa mengira latarbelakang dan profesyen sebenar dalam kehidupan seseorang itu kerana inilah tugas yang paling mulia yang diamanahkan oleh Engkau sebagaimana yang telah dipikul oleh para Rasul terdahulu. Bantulah kami untuk menjadi aset yang paling bernilai dalam gerakan dakwah yang menyeru manusia untuk tunduk dan menghamba-abdikan diri hanya kepadaMu.

Di dalam fiqh dakwah, ada beberapa kaidah dakwah yang mesti difahami oleh setiap aktivis dakwah di antaranya ialah :

  1. "Al-qudwah qabla dakwah" (menjadi contoh sebelum berdakwah).
  2. "At-ta'lif qabla ta'rif" (mengikat hati sebelum memperkenalkan).
  3. "At-ta'rif qabla taklif (memperkenalkan sebelum memberikan tugas pengamalan).
  4. "At-tadarruj fit-taklif" (bertahap dalam memberikan tugas-tugas).
  5. "At-taisir lat-ta'sir" (memudahkan bukan menyukarkan).
  6. "Al-ushul qablal-furu'" (yang pokok sebelum yang cabang).
  7. "At-targhib qabla-tarhib" (memberi harapan sebelum memberi ancaman).
  8. "At-tafhim la-talqin" (memberikan pemahaman bukan mengarah).
  9. "At-tarbiyah lat-ta'riyah" (mendidik bukan membuka pekung).
  10. "Tilmidzu imam la tilmidzu kitab" (muridnya imam bukan muridnya buku)

Ameen Ya Rabbal Alameen

Wan Ahmad Sanadi Wan Ali (WAS) Shah Alam 

sumber dari IKRAM Selangor: [Aktivis Dakwah Adalah Aset Bernilai]