"Sesungguhnya di dalam hati itu ada 1 kekosongan yang tidak akan terhapus melainkan kekosongan itu diisi dengan ALLAH. Dan di dalamnya ada 1 kesedihan yang tidak dapat dihapuskan melainkan dengan kegembiraan mengenali ALLAH dan taat kepadaNya" - Ibnu Qayyim Al-Jauziyah.

Tuesday, June 22, 2010

Kita..Disenangi @ Tidak?

Apabila berteman..

Ada satu peristiwa yang mengingatkan diri ini tentang pertalian, persahabatan dan teman. Apabila terkenang, SATU KENYATAAN YANG TIDAK DAPAT DINAFIKAN DALAM HIDUP KITA ADALAH KITA TIDAK MUNGKIN MENJADI TEMAN YANG SEMPURNA DI MATA SEMUA DAN KEHADIRAN KITA TAK SEMESTINYA DISENANGI SEMUA…ITULAH HAKIKATNYA. Bagaimana kita menerima hakikat ini seadanya dan memahami sebaiknya supaya pergaulan yang sihat dapat dipraktikkan dalam kehidupan.

Islam sendiri telah memperhalusi perkara ini dengan menjadikan junjungan mulia Nabi Muhammad SAW sebagai contohnya. Rasulullah SAW yang mempunyai akhlak yang baik lagi mulia masih ada orang yang memusuhinya. Hal ini menunjukkan manusia ini masih insan yang lemah yang tidak mampu menguasai pemikiran dan akal manusia. Hanya Allah SWT yang mempunyai sifat kesempurnaan ini oleh sebab itu hanya Allah yang berhak memberi petunjuk dan menyesatkan sesiapa yang Dia kehendaki.

Kita sendiri apabila mengetahui bahawa ada orang lain yang tidak sehaluan dengan kita atau tidak suka dengan cara kita, kita akan berasa gelisah. Kalau boleh nak saja kita memberi kepuasan kepada setiap orang tetapi itu adalah sesuatu yang kita tak mampu lakukan dan tak mungkin dapat lakukan. Bagaimana kita menghadapi situasi ini dan adakah kita mampu menghadapi situasi ini? Sebagai insan yang lemah disisiNya, terimalah pandangan positif mahupun negatif daripada orang di sekeliling kita, kalau boleh untuk perbaiki diri lakukan dengan sebaiknya tetapi andai ada kekurangan diri yang perlu diterima seadanya...terimalah dengan hati yang terbuka.

Kadang-kala kita sendiri tidak dapat lari daripada perasaan negatif terhadap orang lain sehinggakan akhirnya kita menyimpan perasaan jelik dan benci apabila melihatnya. Kawallah perasaan, jangan biarkan perasaan menguasai kita...kitalah yang menentukannya. Sesungguhnya perasaan itu di tusuk oleh syaitan durjana. Berbahagialah dengan kehadiran insan-insan yang menyenangi kita mahupun yang tidak menyenangi kita kerana itulah lumrah dalam kehidupan dunia ini. Ada hikmah dalam setiap ketetapan Allah itu dan buatlah yang terbaik kepada semua orang dan berlapang dada kerana kamu pasti akan berasa tenang dan damai selepas itu, insyaAllah biiznillah wallahualam.

Monday, June 21, 2010

Andai Malam Kembali

Aku telah menemui siang yang terbentang untukku namun malam yang kelam menahan agar aku terus di situ..akan kulari kepada siang yang cerah itu kerana malam hanya membawa resah di lubuk hatiku…


Saat siang tersenyum kepadaku

Aku masih dipersimpangan fajar bagai mencari sesuatu

Sedang malam harus ku lepaskan pergi

Kerana malam telah menjadi semalam yang takkan berganti


Namun malam tetap akan kembali

Membawa wajah yang berbeza

Bersama kisah yang baru


Andai malam hadir lagi

Aku berjanji kepada Tuhan

Aku akan tetap di sini

Teguh berdiri

Membawa seribu satu impian

Kerana ku impikan

Malam-malamku ini

Dipenuhi sedar dan pengertian


Agar nanti….

Akan dapat kuserah diri dan jiwa

Pada Rabb yang hakiki

Kerana nafas ini

Kuabadikan semata keranaNya

Dalam langkahku mencari redhaMu ya Ilahi

Ku Damba Hanya PadaMu

Ya Allah,

Sesungguhnya aku bukan takut kesunyian ini

Kerana aku pasti dinding kesunyian itu pasti tembus jua

Pada saat dan masa yang telah Kau tetapkan


Yang aku gentarkanlah adalah

Aku diuji pada cinta yang bukan selayaknya untuk aku

Aku tidak mahu pada fitnah cinta dunia

Tidak pada cinta yang melalaikan

Tidak pada cinta yang tidak halal

Yang hanya mengundang murkaMu


Ku akui wahai pemilik hakiki cintaku

Aku tidak benar-benar menjaga hati ini

Sehingga bisa saja perasaanku diusik

Hanyut dalam buaian nafsu dan syaitan durjana

Ku akui ketidaktulusan itu

Sedang aku amat malu ya Allah

Malu kepadaMu kerana tidak menjaga hati ini


Ya Allah,

Bawalah hatiku ini pergi

Daripada dibuai rasa resah gelisah

Agar aku dapat menikmati cintaMu yang tulus buatku

Tinggikanlah ketaqwaanku kepadaMu

Ku sedar memang payah

Tapi aku mohon kudrat dan kekuatanMu

Untuk terus membimbimgku

Dan hembuskanlah nafas keimanan yang teguh

Merasai kesucian dalam mendamba cinta Ilahi

Potret Hati Buat Diri

Wahai diri,

Aku merasakan kerapuhan pada hati dan jiwamu

Kerana aku lihat kau tidak tulus dan telus

Dalam mendamba dan meraih cinta Ilahi


Kau menapak di jalan mujahadah

Tapi kau jua susuri dunia ini seadanya

Kau ikut arus dunia

Sampai kau terlupa di mana perananmu yang sebenar

Mengapa kau tidak kuat menepis itu semua?


Kau terleka dan terlalai

Dalam enak kau melihat dunia menyanjungimu

Sebenar di sisi Tuhan engkau tenggelam

Tenggelam dalam nikmat kepuraan


Bukanlah sekadar cukup

Andai dosa dan maksiat kau hindari

Namun yang sia-sia tidak kau jauhi


Maka mata hatiku memandang

Benar..

Diriku sebenarnya menjauh

Jauh dari tuhanmu..

Bagaimana?

Akan ku perolehi lagikah rahmat kasihNya?


Aku merenung diri kembali

Muhasabah mengenang diri

Mengapa aku begini?

Syaitan dan nafsu menguasai

Dimana ketakutan dan kegetaran yang dulu wahai diri???

Sungguh..aku jatuh!

Jatuh dalam taklukan iblis durjana

Aku sakit hati!

Membuat si durjana gembira

Bangga dengan penurunan imanku…


Dulu, pernah kau berjanji

‘pasti lahirku bukan semata

Aku ingin menjadi istimewa di sisiNya’

Adakah kini kau istimewa

Atau kau sebenarnya sama sahaja


Wahai diri,

Pastilah kau temui

Andai kau tidak benar2 kembali padaNya

Berjuang untukNya

Di sisiNya akan ada hamba

Yang lebih bersedia berkorban untukNya


Maka di suatu sisi

Aku tertunduk malu

Ku imbas kembali sirah

Umar alkhattab dan Umar abdul aziz

Insan-insan hebat yang benar2 berubah

Berhijrah keranaNya


Aku tertunduk malu menangisi

Sudah cukupkah mujahadahku ini

Untuk mengakui akulah umat Muhammad SAW

Yang benar2 berbakti

Sungguh aku….jauh sekali

Agar Bidadari Syurga Cemburu Padamu..

Allah tidak melihat kepada tubuh kalian dan tidak pula kepada bentuk kalian. Allah hanya melihat kepada hati dan perbuatan kalian (HR Muslim)

Sahabat-sahabatku yang dikasihi kerana Allah…..,

Andai kau berkira-kira untuk menjadi…………wanita solehah yang dicemburui para bidadari syurga..

Maka ingatlah…semua itu terletak padamu, memang engkau boleh memilih tetapi renungkanlah..

- Andai kau katakan bahawa kamu hidup sudah dikelilingi suasana yang beriman dan pasti Allah takdirkan kesolehan itu pada dirimu maka cuba renungkanlah:

Allah membuat perumpamaan bagi orang-orang kafir, istri Nuh dan istri Lut. Keduanya berada di bawah penguasaan 2 orang hamba yang soleh di antara hamba-hamba kami; lalu kedua istri itu berkhianat kepada kedua suaminya, tetapi kedua suaminya itu tidak dapat membantu mereka sedikit pun dari siksa Allah; dan dikatakan kepada kedua istri itu, “Masuklah kamu berdua ke neraka bersama orang-orang yang masuk.” (atTahrim:10)

Sesungguhnya Allah pemilik setiap hati-hati maka cenderungkanlah hatimu kepada kebaikan supaya Allah juga melimpahkan kebaikan dan rahmat kasih sayangNya padamu.


- Andai kamu menyalahkan suasana kehidupanmu sekeliling yang tidak membantu kamu menjadi hambaNya yang taat kepada Allah maka renungi ayat ini:

Dan Allah membuat perumpamaan bagi orang-orang beriman, istri Fir’aun, ketika dia berkata, “Ya Tuhanku, bangunkanlah untukku sebuah rumah di sisiMu dalam syurga dan selamatkanlah aku daripada Fir’aun dan perbuatannya, selamatkanlah aku dari kaum yang zalim,” (atTahrim:11)

Kebaikan itu tidak datang dengan sendirinya, ia perlu didatangi dan dicari. Teruskanlah pencarianmu wahai sahabat-sahabatku…semoga Allah membimbing kita ke jalanNya..


- Andai kecintaanmu kepada Allah yang engkau lebih utamakan daripada kecintaanmu kepada dunia, maka Allah sudah berfirman member janji yang terbaik buat hamba-hambanya yang soleh:

Dan Maryam putri Imran yang memelihara kehormatannya, maka Kami tiupkan ke dalam rahimnya sebagian dari roh (ciptaan) Kami; dan dia membenarkan kalimat-kalimat Tuhannya dan kitab-kitabNya dan dia termasuk orang-orang yang taat. (atTahrim:12)

Duhai sahabatku, sungguh Tuhanmu Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, moga hati-hati kita ditetapkan kepada kebaikan, menyukai kebaikan dan hidup mati kita dalam kebaikan..insyaAllah.