"Sesungguhnya di dalam hati itu ada 1 kekosongan yang tidak akan terhapus melainkan kekosongan itu diisi dengan ALLAH. Dan di dalamnya ada 1 kesedihan yang tidak dapat dihapuskan melainkan dengan kegembiraan mengenali ALLAH dan taat kepadaNya" - Ibnu Qayyim Al-Jauziyah.

Tuesday, January 4, 2011

Ayuh Bersama!

Apabila sejenak meluangkan masa dengan seorang adik yang mahu perhatian…cuba menyelami hatinya dan memahami perasaannya. Melihat pada redup wajahnya bagaikan aku mendengar lontaran,


“Saya Mahu Berubah!”

“Saya Nak Menjadi Baik!”

“Saya mahu dan mahu! Tapi saya tidak mampu!”


Seketika bersamanya, mendengar luahan yang terbuku di lubuk hati. Perkongsian yang mengharapkan pengertian, baginya sekadar cukup punya seorang insan di sisi untuk mendengar dan memberi mutiara kata yang dapat menyegarkan jasadnya yang kelayuan.


Kami masih berhubung setelah dia mengikuti program yang dianjurkan dan aku menjadi salah seorang fasilitator pada masa itu.


Aku mendengar khabar bahawa dia dirundung penyesalan, memohon keampunan atas segala yang pernah dilalui dahulu dan setulusnya dia memang mahu menjana perubahan yang besar dalam diri.

***

Sekadar berkongsi cerita yang sedikit ini, sebenarnya dunia ini penuh dengan insan-insan yan seperti itu. Ingin menganjak jalan yang lurus meninggalkan kebengkokan jalan yang pernah dilalui dahulu.


Mereka sebenarnya mencari sang insan yang sudi menyambut huluran tangan, mampu dipimpin bersama, mahu seiringan dalam gerak langkah.


Tapi siapakah yang sudi melakukan itu semua?


Sedang kita semua (masing-masing) sibuk tentang perihal diri sendiri?


Menyingkap dunia luar yang mempunyai 1001 cerita, yang kisahnya pelbagai seharusnya mendatangkan rasa syukur buat diri bahawa Allah telah menyediakan lapangan yang baik buat diri kita.


Keluarga yang bahagia, rezeki yang sentiasa dicukupkan, harta yang dilimpahi, hari-hari yang dilalui penuh dengan kehidupan yang bermakna.


Sehingga…

kita merasa di atas tanpa mahu memandang ke bawah,

kita merasa senang tanpa mahu menyumbang pada yang susah

kita menyimpan apa yang kita punya tanpa mahu berkongsi walau sedikit cuma.

Kita hidup dengan diri kita sendiri sedang itu semua Allah beri untuk menguji kita.


Aku beringat buat diri sendiri bahawa semua yang aku miliki ini adalah pinjaman semata lalu mengapa mahu merasanya sendiri sedang hidup ini adalah kebersamaan. Dunia ini adalah perkongsian yang kita saling melengkapi untuk kelangsungan hidup bersama.


Setiap dari kita takkan menemui kesempurnaan sekiranya itulah yang membataskan diri untuk beramal, berkongsi dan memanfaatkan potensi jua kelebihan diri untuk urusan kita sesama manusia dalam menolong agama Allah.


Kesempurnaan takkan bertamu melainkan setiap diri kita sedang menuju kepada pembaikan…hijrah dan terus hijrah. Aku jua adalah insan yang banyak dosanya, sering melakukan kesalahan dan tak terlepas dari sifat lalai dan lupa.


Namun bertekad pada diri bahawa setiap dari kita akan menggunakan kesempatan untuk menyumbang walau cuma dengan sebaris kata nasihat kerana kita tidak tahu mungkin itulah yang menjadi amal yang dikira dan diganjarkan baik di sisi Allah. Syaratnya hanya satu, hati perlu disucikan agar segala yang dilakukan ikhlas kerana Allah - insyaAllah.


Tak perlu sumbangan yang besar untuk memberi manfaat kepada orang di sekeliling kita. Cukuplah dengan rasa tanggungjawab kita sebagai manusia untuk memberi dan terus memberi. Menyumbang dan terus menyumbang. Berbakti dan terus berbakti. Semuanya sebagai infak kita di jalan Allah. Apabila kita permudahkan urusan hambaNya yang lain, Allah akan memudahkan dan meluruskan jalan kita. InsyaAllah biiznillah.

No comments:

Post a Comment