“Sebahagian mereka tetap menempuh jalan yang lurus” (31:32)
"Sesungguhnya di dalam hati itu ada 1 kekosongan yang tidak akan terhapus melainkan kekosongan itu diisi dengan ALLAH. Dan di dalamnya ada 1 kesedihan yang tidak dapat dihapuskan melainkan dengan kegembiraan mengenali ALLAH dan taat kepadaNya" - Ibnu Qayyim Al-Jauziyah.
Aku hanya bermula mengenali usrah ketika aku berada di ipt, UiTM Shah Alam. Aku masih ingat waktu itu, saat aku berperang dengan diri. Seringkali aku bermonolog, bertanya kepada diri dan meminta Allah menunjuki aku ke jalan yang lurus. Aku tidak tahu ke manakah saat itu, kepada siapakah aku ingin mengadu dan dari mana aku harus bermula. Rahmat Allah itu Maha Luas dan dia tunjukkan kepadaku.
Aku ingat lagi pengaruh di Shah Alam bukanlah sedikit, jika iman tak kuat maka mudahlah tergelincir. Sana-sini boleh saja nak dapatkan hiburan dan terjerumus dalam perkara yang sia-sia. Hatiku saat itu cuma inginkan satu, kekuatan untuk terus taat dalam beramal dan berterus-terusan dalam melakukan pekerjaan kebaikan. Dari manakah sumber kekuatan itu?
Saat itu aku rindukan tarbiyah seorang ibu, perhatiannya dan ketegasan mak yang tak pernah letih menegur aku. Aku tidak mahu tanpa keberadaannya; aku meninggalkan solat, lupa melazimi al-Quran seperti kebiasaannya atau lalai dalam suruhanNya. Aku sering memandang redup dari kejauhan saat aku melihat oranng lain ingin berjemaah ke masjid atau mengikuti majlis-majlis ilmu. Sedang aku entah ke mana, membazirkan masa di pusat membeli belah?
Aku mula merasa sudut hati yang kosong, jiwa yang kegersangan dan rindu yang tak terungkap. Semuanya kerana aku rasakan aku semakin menjauh dengan Allah, ketaatan yang menghakis dan kelalaian yang mendabik. Aduh, terlalu parah saat itu dan aku terfikir adakah hatiku ini telah mati?
Perancangan dan ketentuan terbaik Allah telah aturkan buatku, satu persatu jalan yang Allah telah buka buatku. Bermula dengan dipertemukan seorang sahabat aku diperkenalkan dengan usrah dan saat aku merasai kemanisan usrah itu, aku merasakan roh yang baru pada diri yang telah dibasahi dengan tarbiyah. Aku berjanji kepada Allah, setelah Allah memberikan taufik hidayahNya itu maka akan kucuba sedaya upaya untuk istiqomah. Ameen ya Rabbi!
'Aku hanyalah ingin menjadi hamba Allah yang TAAT & berTAQWA juga menjadi umat Muhammad S.A.W. yang terbaik.'
Andai sahabat-sahabat menemui yang aku ini masih mempunyai lompang-lompang jahiliyyah dalam diri ini maka dengan berlapang dada dan berbesar hati mengharap kalian menegur dan membimbingku.
Sesungguhnya dalam proses penghijrahan ke arah kebaikan itu, seseorang insan perlu menemui sepanjang proses itu dia telah ada peningkatan demi peningkatan. Kesemua itu merujuk kepada pencapaian keTAQWAan kita di sisi Allah. InsyaAllah.
Apa yang ingin kusampaikan adalah proses penghijrahan insan mencapai tahap ketaqwaan itu dibantu atas dorongan USRAH.
Pernah dengar tak?
Usrah bukanlah segala-galanya tetapi segala-galanya bermula dengan usrah.
Tarbiyah bukanlah segala-galanya tetapi segala-galanya bermula dengan tarbiyah.
Bicara tentang mengajak manusia kepada kebaikan, ada lagi yang Allah ingin memberikan tarbiyah buat diri ini dalam menyediakan diri menjadi yang terbaik dan berusaha menyantuni insan lain dengan berhikmah.
Memberi Kepada Yang Mahu Vs Memberi Kepada Yang Perlu Tetapi Tak Mahu
Saat bergerak dalam keselesaan sentiasa menerima tindakbalas yang positif, bagaimana pula respon kita apabila menghadapi tindakbalas yang negatif..?
Mengikuti program baru-baru ini benar-benar menguji tahap keupayaan aku dalam menggerakkan manusia berbuat kebaikan. Sedar bahawa diri perlu lebih banyak menyerap ilmu dan mendidik diri.
Saat kita menyeru, mereka tidak mendengar.
Saat kita memberi, mereka menolak.
Diri ini percaya bahawa menyantuni manusia bukanlah seperti mengarah binatang. Binatang mungkin kita boleh arah saja sebab mereka tak punya hati dan perasaan. Menyeru manusia ke arah kebaikan menuntut kesabaran dan hikmah. Bagaimana pula kita nak berhikmah di saat orang lain cuba membatu dan mengikut rentak mereka sendiri?
Aduhai alangkah payahnya saat itu, kalau diikut rasa hati tak perlu peduli tentang mereka tetapi apabila mengingatkan diri bahawa setiap tindakan itu amal kepada Allah maka rasa tenanglah hati ini. Sekurang-kurangnya aku telah berusaha mengajaknya.
Lalu aku dan sahabat, kami mendekati mereka. Cuba melunakkan suara dengan kata-kata yang mudah, sedikit ingatan dan pujukan semoga mereka tergerak untuk melakukan. Alhamdulillah, mereka boleh menerimanya meskipun perlu diperhatikan gerak-geri dan langkah mereka hingga saat mereka benar-benar melaksanakan seruan. Tidak semua yang begitu, masih ada yang melengahkan, mungkin ada yang cabut lari tanpa kami sedari, apa yang termampu itulah yang kami awasi. Kami cuba untuk menyemai keakraban, menghapuskan jurang dan melenyapkan kebencian kerana sesungguhnya kami bukan membenci mereka tetapi tidak suka dengan sikap mereka. Itulah yang perlu diubah sebenarnya. Mereka ini mungkin nampak keras pada sikap tetapi hati mereka sebenarnya tidak begitu. Biar seganas, sebrutal dan seteruk mana pun sikap mereka, kalau kena pada caranya akan luntur jua. Bak sang batu dan air.