"Sesungguhnya di dalam hati itu ada 1 kekosongan yang tidak akan terhapus melainkan kekosongan itu diisi dengan ALLAH. Dan di dalamnya ada 1 kesedihan yang tidak dapat dihapuskan melainkan dengan kegembiraan mengenali ALLAH dan taat kepadaNya" - Ibnu Qayyim Al-Jauziyah.

Wednesday, September 29, 2010

Taqwa

Adakah kita benar-benar faham dengan pengertian TAQWA?


“Apakah sebenarnya taqwa ini? Apa pula rasanya keTAQWAan ye..?”


Pernah tak ungkapan tu terdetik di hati kita?


Masih segar di ingatan ini sewaktu sekolah dulu belajar tentang Islam, Iman, Ihsan dan Taqwa.


Apa yang ingin kusentuh adalah bab TAQWA. Ingat juga acap kali dalam tazkirah terutama tazkirah bulan Ramadhan semasa di universiti dulu, sering diperingatkan tentang menjadi hambaNya yang bertaqwa. Apabila baca al-Quran sering Allah berfirman bahawa orang yang mulia di sisiNya adalah orang-orang yang bertaqwa.


“TAQWA..bagaimana ye taqwa ni?”


Dulu seringkali terlintas di fikiran. Perkataan ‘taqwa’ sering membuatkan aku tertanya-tanya bagaimanakah rasanya apabila hadirnya taqwa dalam diri seorang mukmin itu.


Kita akan benar-benar merasainya apabila kita bermujahadah penuh ketaatan kepada Allah.


Kita akan benar-benar menikmatinya saat kita sungguh-sungguh beramal meskipun bukan di khalayak, saat kita sendirian. Saat itu kejujuran menjadi ukuran. Apakah benar kita telah meyakini bahawa sang Khalik sentiasa mengawasi setiap tindak-tanduk kita…


Tidaklah layak bagi diri ini yang sedikit sekali ilmu berbicara tentang soal yang terlalu halus untuk dibicarakan. Siapalah aku untuk memperkatakan tentang TAQWA ni kan…


***

Di sini dikongsikan bersama sedikit tazkirah oleh Ustazah Maznah di [Malaysia Harmoni]


Bagaimana memperoleh dan memelihara takwa?


Allah ‘Azza wa Jalla telah menunjukkan jalan bagaimana mencapai takwa dan bagaimana memeliharanya.


Sebelum itu, perlu difahami terlebih dahulu apa maksud takwa yang sebenarnya.


Ibn Kathir meriwayatkan bahawa menurut Ibn ‘Abbas radiallahuanhu., orang yang bertakwa itu ialah orang beriman yang memelihara diri daripada syirik dan mentaati Allah dengan mengerjakan suruhan-Nya.

Al-Hasan al-Basri pula berkata, orang yang bertakwa ialah mereka yang memelihara diri daripada perkara yang diharamkan Allah dan melaksanakan apa yang difardhukannya.


Imam at-Tirmizi meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: “Seseorang hamba itu tidak sampai ke darjat muttaqin sehingga dia meninggalkan perkara yang tidak berdosa kerana takut terjerumus melakukan perkara yang ada dosa”.


Ubai bin Ka’ab r.a. telah membuat satu perumpamaan yang mudah ketika beliau ditanya oleh Umar bin al-Khattab tentang takwa. Beliau bertanya Sayidina Umar, “Pernahkah anda berjalan di suatu jalan yang penuh duri?”, Umar menjawab, “Ya, pernah?” “Lalu, apa yang anda lakukan?” Umar menjawab, “Saya menyinsing kain dan melangkah berhati-hati.” “Maka, itulah dia takwa!”


Maka takwa adalah langkah menjauhkan diri daripada larangan Allah dan berusaha sedaya mampu melaksanakan suruhan-Nya.


Antara jalan untuk mencapai takwa adalah:


1. Berpuasa seperti yang termaktub dalam surah al-Baqarah ayat 183.


2. Menerima dan mengikuti ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam. Firman Allah bermaksud:

“Dan orang-orang yang menerima petunjuk (ke jalan yang benar), Allah menambahi mereka dengan hidayat petunjuk serta memberi mereka (dorongan) untuk mereka bertakwa.”

(Muhammad 47:17)


3. Menghayati ciri-ciri orang yang bertakwa. Ciri-ciri mereka dinyatakan dalam beberapa ayat. Antaranya terkandung dalam surah az-Zariat yang bermaksud:

“Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa ditempatkan dalam beberapa taman syurga, dengan mata air terpancar padanya. (Keadaan mereka di sana) sentiasa menerima nikmat dan rahmat yang diberikan kepadanya oleh Tuhan mereka. Sesungguhnya mereka di dunia dahulu adalah orang-orang yang berbuat kebaikan. Mereka sentiasa mengambil sedikit sahaja masa dari waktu malam untuk mereka tidur. Dan pada waktu akhir malam (sebelum fajar) pula, mereka selalu beristighfar kepada Allah (memohon ampun). Dan pada harta-harta mereka, (ada pula bahagian yang mereka tentukan menjadi) hak untuk orang miskin yang meminta dan orang miskin yang menahan diri (daripada meminta)."

(Az-Zariat 51:15-19)


Mudah-mudahan peringatan yang serba ringkas ini dapat membantu kita mencapai takwa dan sentiasa memeliharanya.


***


Muhasabah buat diri.


Ya Allah, sempurnakan hijrahku ini. Meskipun jalan ketaqwaan ini bukanlah mudah tetapi bagiMu mudah untuk memudahkan urusan para hambaMU. Maka permudahkanlah jalan buat diri ini dan buat hamba-hambaMu yang menyerah diri kepadaMu. Allahumma ameen ya Rabbana, ameen ya Rabbal 'Alamin!

No comments:

Post a Comment